Jumaat, 28 April 2017 | 6:21pm

CIMB jangka catat satu lagi rekod pendapatan tahun ini


PENGERUSI CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak (kiri) dan Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz semasa Group Holdings Berhad Mesyuarat Agung Tahunan CIMB di Connexion @ Nexus, Bangsar South City. - Foto Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd yang mencatat rekod pendapatan tertinggi tahun lalu, yakin mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh bagi tahun kewangan semasa berakhir 31 Disember 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata keyakinan itu disandarkan kepada pelbagai langkah perlu yang sudah diambil, seperti pengawalan kos berterusan, penambahbaikan peruntukan dan pengekalan pertumbuhan pinjaman.

Beliau berkata, kumpulan akan terus melaksanakan disiplin kos merentas semua perniagaan bagi mencapai sasaran nisbah-kos-pendapatan (CIR) 50 peratus hujung tahun ini, berbanding 53.9 peratus tahun lalu.

"Tahun 2016 adalah tahun yang baik bagi kumpulan. Kami yakin tinjauan bagi tahun kewangan 2017 akan lebih baik mengambil kira langkah yang sudah diambil," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi CIMB Group, Datuk Seri Nazir Razak.

MIDF Research dalam satu nota menyatakan, ia percaya keputusan cemerlang PT Bank CIMB Niaga Tbk (CIMB Niaga) di Indonesia akan memberi lonjakan kepada pendapatan suku kewangan pertama 2017 CIMB Group.

CIMB Niaga PT mencatat keuntungan bersih 640 bilion rupiah (RM208.9 juta) bagi suku kewangan pertama 2017, pertumbuhan 137.9 peratus tahun-ke-tahun.

Sementara itu, Nazir berkata, CIMB Group akan memberi penekanan khusus kepada penawaran teknologi kewangan (fintech) mulai tahun ini.

"Fintech akan mendefinisikan semula perbankan pada masa depan. Lebih banyak (penawaran fintech) akan kami perkenalkan," katanya.

CIMB Group mencatat peningkatan keuntungan bersih 4.5 peratus kepada RM3.56 bilion bagi kewangan berakhir 31 Disember 2016, yang diraih daripada pendapatan RM16.1 bilion, rekod pendapatan tertinggi setakat ini.

Pinjaman kasar dan jumlah deposit kumpulan tahun lalu berkembang masing-masing 8.7 peratus dan 5.6 peratus.

Berita Harian X