Jumaat, 28 April 2017 | 7:08pm

Terima anugerah khas UTM-SPACE pada usia 54 tahun


NORLIAH Hashim bersama suaminya, Abdul Razak Manah, 59, ketika meraikan kejayaannya sebagai penerima Anugerah Hadiah Khas kategori veteran pada Majlis Anugerah Dekan dan Hadiah UTM-SPACE bersempena Konvokesyen UTM ke-58, di Pulai Spring Resort, Johor Bahru. - Foto Norazimah Narudin

JOHOR BAHRU: Mengorbankan sebahagian besar usianya untuk menuntut ilmu ternyata berbaloi bagi seorang ibu apabila berjaya menggenggam segulung ijazah, selain dipilih sebagai penerima Anugerah Hadiah Khas Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan Universiti Teknologi Malaysia (UTM-SPACE).

Tempoh pengajian selama empat tahun dimanfaat sepenuhnya oleh Norliah Hashim, 54, penjawat awam yang bertugas di Putrajaya, sekali gus mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.39.

Beliau yang juga penerima bagi kategori veteran ketika ditemui berkata, pengajian Sarjana Muda Senibina Landskap sejak 2012 itu, bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademiknya, malah turut memupuk kesedaran kepada dirinya betapa penting menerapkan ilmu dalam kehidupan seharian.

"Tidak kisahlah usia berapa, janji saya dah tunaikan salah satu impian yang memang saya tanam sejak kecil lagi. Alhamdulillah, terima kasih kepada yang memberi galakan dan sokongan.

"Bagaimanapun, ia tidak akan berhenti di sini kerana pembelajaran sepanjang hayat adalah sesuatu yang ternilai dan mungkin saya akan cuba capai pengiktirafan yang lebih tinggi," katanya pada Majlis Anugerah Dekan dan Hadiah UTM-SPACE sempena Konvokesyen UTM ke-58 di sini, hari ini.

Turut hadir Dekan UTM-SPACE, Prof Dr Mohd Fua'ad Rahmat dan Ketua Pegawai Eksekutif UTM-SPACE, Prof Mohd Azraai Kassim.

Pada majlis itu, seramai 35 graduan menerima Anugerah Dekan UTM-SPACE, selain 12 penerima anugerah akademik yang memperoleh PNGK 3.50 peringkat diploma dan 3.67 peringkat sarjana muda.

48 dibaca
Berita Harian X