Sabtu, 29 April 2017 | 12:12am

Irfan catat rekod baharu Terbuka Singapura

MUHAMMAD Irfan Shamsuddin ketika beraksi dalam acara lempar cakera lelaki akhir Sukan SEA Singapura 2015. - Foto fail NSTP/Osman Adnan

SINGAPURA: Atlet lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mencatat rekod baharu kejohanan pada hari kedua Kejohanan Olahraga Terbuka Singapura, hari ini.

Muhammad Irfan berjaya memecah rekod kejohanan 57.42m yang dipegang Lee Newman dari Wales sejak 1998 apabila melempar sejauh 57.59m, untuk mengatasi dua peserta Jepun, Yuji Tsutsumi dan Go Chinen, yang masing-masing mencatat 54.88m dan 49.94m.

Menyifatkan ia sebagai 'acara memanaskan badan', pemegang rekod kebangsaan itu berkata beliau akan ke Eropah bagi menyertai pertandingan, antaranya di Slovakia, Jerman dan Austria selama dua bulan mulai minggu depan.

Dalam pada itu, Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim berpuas hati dengan pencapaian atlet negara di kejohanan dua hari yang tamat hari ini.

Malaysia merangkul tujuh pingat emas yang disumbang melalui acara lompat tinggi lelaki dan wanita, lempar cakera lelaki dan wanita, 4x100m wanita, 1,500m lelaki dan lompat kijang lelaki.

Begitupun kem olahraga negara dilanda kebimbangan selepas menyaksikan jaguh pecut, Khairul Hafiz Jantan mengalami kecederaan ketika beraksi.

Khairul Hafiz mengalami kecederaan itu ketika beraksi di final acara 100 meter apabila hampir terjatuh selepas berlari sejauh 50m tetapi tetap meneruskan lariannya untuk hanya menduduki tangga keempat dengan masa 10.86 saat, di belakang rakan senegara, Muhammad Haikal Hanafi yang menduduki tempat ketiga dengan catatan 10.85 saat.

Ketika ini, skuad negara pastinya mengharapkan ia bukan kecederaan hamstring yang mungkin memaksa Khairul Hafiz berehat panjang, sekali gus menjejaskan penyertaannya ke temasya Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos nanti.

​​​​​Acara itu yang tidak disertai bekas Raja Pecut Asia Tenggara, Jirapong Meenapra dari Thailand, dimenangi peserta Indonesia, Mudiyasa I Dewa Made dengan catatan 10.72s manakala tempat kedua milik Anfernee Lopena dari Filipina yang mencatat 10.73s.

Berikutan kecederaan Khairul Hafiz, Malaysia terpaksa menarik diri daripada acara 4x100m lelaki, antara acara yang disasarkan menyumbang pingat emas di Sukan SEA nanti.

Karim berkata penarikan diri rangkaian 4X100m negara itu perlu dilakukan kerana bimbang akan memudaratkan kecederaan Khairul Hafiz menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur.

"Namun, saya yakin beliau mampu bangkit dan membuat kejutan pada Sukan SEA nanti," katanya.

KOM menghantar 27 peserta termasuk dua atlet paralimpik, Abdul Latif Romly yang juga Olahragawan Kebangsaan 2016 dan Muhammad Ziyad Zolkefli.

"Ini adalah antara persiapan kita menghadapi Sukan SEA. Prestasi amat memberangsangkan kerana terdapat kalangan peserta yang tampil kali pertama di kejohanan ini," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X