Sabtu, 29 April 2017 | 12:53am

Sabah juara keseluruhan MSSM ke-59


SEBAHAGIAN Atlet dari negeri Sabah bergambar selepas diumumkan juara keseluruhan pada Kejohanan Balapan dan Padang MSSM peringkat Kebangsaan kali ke-59 di Stadium Bandaraya Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

GEORGETOWN: Kontinjen Sabah dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM) ke-59 yang melabuhkan tirai di Stadium Bandaraya, dekat sini, sebentar tadi.

Sabah meraih 14 pingat emas, 21 perak dan 13 gangsa, diikuti Sarawak yang menduduki tempat kedua dengan 13 emas, lapan perak dan sembilan gangsa.

Tempat ketiga Johor dengan 12 emas, 10 perak dan 14 gangsa sementara tuan rumah, Pulau Pinang menduduki tempat ke-11 dengan tiga emas, lapan perak dan empat gangsa.

Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof berkata Kementerian Pendidikan Malaysia sentiasa memberikan tumpuan kepada aspek bukan akademik iaitu sukan dan kokurikulum.

Menurutnya, pelbagai program sukan telah dilaksanakan di semua peringkat, khususnya untuk sukan balapan dan padang yang dikenali sebagai 'Ibu kepada Segala Sukan.'

"Saya difahamkan seramai 1,075 orang atlet murid dan 14 buah negeri terlibat dalam kejohanan kali ini dan saya percaya mereka telah bertanding dengan penuh semangat kesukanan untuk mengejar impian dan mencapai kecemerlangan dalam acara-acara yang disertai.

"Saya mengucapkan tahniah kepada kontinjen Sabah," katanya ketika menutup kejohanan itu.

Beliau berkata kontinjen MSSM yang bertanding dalam kejohanan ini akan dipilih untuk mewakili negara dalam dua kejohanan balapan dan padang di peringkat antarabangsa pada tahun ini.

"Dua kejohanan antarabangsa itu adalah Kejohanan ASEAN Schools Games dan Kejohanan 25th International Little Athletics pada bulan Julai nanti.

"Saya harap atlet yang terpilih untuk mewakili negara nanti akan terus berlatih dan melakukan latihan yang rapi agar dapat meraih kejayaan nanti," katanya.

Khair berkata negeri Selangor akan menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Balapan dan Padang MSSM ke-60 tahun depan dan beliau mengalu-alukan kesediaan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor.

Sementara itu, atlet lontar peluru wanita Pahang, Nurrul Ainin Syauqina Mohd Nor Azahar dan atlit lompat jauh lelaki Kedah Muhammad Nazri Mustafa dipilih sebagai olahragawati dan olahragawan terbaik kejohanan.

Kejohanan enam hari itu menyaksikan 14 rekod kejohanan baharu dicipta berbanding 17 rekod kejohanan pada edisi ke-58 di Terengganu tahun lalu. - BERNAMA

Berita Harian X