Sabtu, 29 April 2017 | 1:00am
SEBAHAGIAN Alumni Ilmu Khas yang menghadiri program Jejak Alumni Ilmu Khas di IPGKIK, Kuala Lumpur. - Foto ihsan IPGKIK

Siti Salmah dipilih Presiden Alumni Ilmu Khas


SITI Salmah (tiga dari kiri) dan S K Devamany (tengah) pada program Jejak Alumni Ilmu Khas di IPGKIK, Kuala Lumpur. -Foto ihsan IPGKIK

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lubok Merbau, Datuk Siti Salmah Mat Jusak dipilih Presiden Persatuan Alumni Ilmu Khas, Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas (IPGKIK) di sini, selepas menang tanpa bertanding dalam pemilihan, malam ini.

Pemilihan itu sempena program Jejak Alumni Ilmu Khas yang dihadiri 800 alumni dari seluruh negara yang pernah menuntut di institusi berkenaan sejak 1959, bermula dengan nama Specialist Teachers Training Institute (STTI), Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK), Institut Perguruan Ilmu Khas (IPIK) dan kini IPGKIK.

Siti Salmah menjadi presiden pertama Alumni Ilmu Khas berikutan penjenamaan semula alumni seiring keperluan dan sijil pendaftaran yang diterima daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia pada 23 Mac lalu.

Penaung Persatuan Alumni Ilmu Khas, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S K Devamany berkata persatuan berkenaan seharusnya berusaha mengekal dan meningkatkan hubungan erat dengan pihak pengurusan IPGKIK serta membantu memperkasa institusi perguruan unggul itu menerusi sumbangsaran dan idea bernas.

"Semoga pertemuan terindah ini akan meninggalkan kesan yang mendalam kepada Alumni Ilmu Khas dan diharap kita terus bersemuka pada masa akan datang, untuk bersama memartabatkan pendidikan generasi muda.

"Malam ini saya amat bertuah, bukan saja dapat bersemuka dengan kawan lama, malah lebih istimewa dapat bersua dengan pensyarah kesayangan seperti Datuk Teo Teik Lee yang kini berusia 91 tahun tetapi masih bersemangat waja membantu memperkasa institusi pendidikan negara," katanya berucap pada majlis berkenaan.

Yang turut hadir, Pengarah IPGKIK Dr Mohd Suhaimi Mohd Ali.

Teik Lee adalah bekas Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan STTI pada 1959 dan alumni tertua institusi berkenaan.

Hadirin turut dihiburkan persembahan Pengarah Muzik Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Mokhzani Ismail bersama alumni seangkatannya di institusi perguruan itu.

41 dibaca
Berita Harian X