Sabtu, 29 April 2017 | 6:00am

Spurs bakal jinak Arsenal, pintas Chelsea

PEMAIN Tottenham Hotspur, Harry Kane (kanan) dan pemain Arsenal, Alexis Sanchez. - Foto Reuters

CHELSEA terus gah di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas selesai 33 perlawanan. Dalam aksi terakhir menentang Southampton di laman sendiri pada pertengahan minggu, mereka menang 4-0 untuk menghimpun 78 mata keseluruhan.

Skuad bimbingan Antonio Conte ini hanya dipisahkan dengan pesaing terdekat, Tottenham Hotspur dengan empat mata tatkala masing-masing berbaki lima aksi untuk diharungi.

Secara umum, skuad Spurs bimbingan Mauricio Pochettino ini masih memiliki peluang memintas The Blues. Namun harapan itu bergantung kepada mereka sendiri selain `ehsan' daripada Chelsea.

Justeru, Tottenham perlu memenangi semua lima aksi berbaki dan dalam masa sama Chelsea tercicir mata dua aksi untuk merangkul kejuaraan liga. Tiada kompromi untuk kekalahan.

Barisan Conte bakal berkunjung ke Goodison Park bertemu Everton pada jam 9.05 malam Ahad ini manakala Spurs menerima kunjungan jiran mereka, Arsenal pada hari sama dengan aksi dijadual 11 malam.

Aksi menentang Arsenal adalah permulaan kepada misi Pochettino mencapai impian itu. Inilah yang menarik untuk kita saksikan pada perlawanan yang bakal berlangsung di White Hart Lane itu.

Seperti juga Pochettino, pembimbing The Gunners, Arsene Wenger, juga tiada pilihan kecuali untuk menang. Lantas itu, perlawanan dua seteru Utara London ini harus dijangka paling sengit.

Wenger sangat memerlukan kemenangan bagi memburu tempat ke Liga Juara-Juara selaku empat pasukan terbaik EPL di penghujung musim tatkala ketika ini hanya menghimpun 60 mata.

Andai diimbas kepada pertemuan lalu, Wenger memiliki rekod cemerlang sepanjang pertemuan dua jiran di kota London Utara ini. Daripada 49 pertembungan, Arsenal menang 22 kali, seri 20 kali dan tewas tujuh kali.

Sejarah menunjukkan The Gunners tidak pernah berada di posisi bawah Tottenham dalam saingan liga sejak Wenger mengemudi Arsenal Oktober 1996 dengan pertemuan pertama pada 24 November 1996 berkesudahan Arsenal menang 3-1.

Namun musim ini, sejarah itu hampir pasti berubah. Tottenham kini mampu menamatkan saingan di atas Arsenal buat pertama kali dalam tempoh 22 tahun andai berupaya menjinakkan barisan Wenger itu malam esok.

Dan sudah pasti kemenangan itu, akan menghidupkan terus peluang mereka merangkul kejuaraan liga buat pertama kalinya sejak 1961.

Andainya Chelsea gagal memenangi aksi pada pertemuan dengan Everton dan selepas itu, Spurs turut memenangi aksi menentang West Ham pada awal pagi Sabtu depan, mereka bakal berada di puncak liga buat pertama kalinya.

Chelsea hanya akan beraksi semula pada awal pagi Selasa bertemu Middlesbrough.

Sementara itu, dalam aksi lain penghuni tempat ketiga liga, Liverpool dijangka tiada masalah mengenepikan Watford selepas dikejutkan Crystal Palace di laman sendiri minggu lalu.

City juga dijangka bangkit daripada kekecewaan Piala FA di tangan Arsenal minggu lalu dan diikat United semalam untuk membenam Middlesbrough bagi menghidupkan peluang ke Liga Juara-Juara musim depan manakala United harus tiada masalah menyingkirkan Swansea City di laman sendiri meskipun dihambat masalah kecederaan ramai pemain utama. Selamat menonton.

Ramalan Minggu ke-35

West Brom 1 - Leicester City 2

Southampton 2 - Hull City 1

Stoke City 1 - West Ham 1

Sunderland 2 - Bournemouth 2

Crystal Palace 2 - Burnley 1

Man United 2 - Swansea City 1

Middlesbrough 0 - Man City 4

Everton 1 - Chelsea 1

Tottenham 3 - Arsenal 2

Watford 1 - Liverpool 4

* Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan BH

Berita Harian X