Sabtu, 29 April 2017 | 6:49am

Ujian peluru berpandu Pyongyang gagal: Yonhap


UJIAN peluru berpandu balistik dari dalam air dilancarkan di lokasi yang tidak didedahkan di Korea Utara. - Foto EPA

SEOUL: Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu balistik dari kawasan utara Pyongyang, tetapi ia dikatakan gagal selepas beberapa saat dilancarkan, lapor agensi berita tempatan, hari ini.

Ujian itu dilakukan ketika ketegangan kian memuncak di Semenanjung Korea, dengan pelancaran siri peluru berpandu terkini dilancarkan Utara dan amaran daripada pentadbiran Presiden Donald Trump yang semakin hilang kesabaran.

"Korea Utara melancarkan peluru berpandu yang tidak dikenal pasti dari kawasan Bukchang di Pyeongannam-do (wilayah selatan Pyeongan) awal pagi ini. Ia dianggap gagal," lapor agensi Yonhap memetik kenyataan dikeluarkan tentera Korea Selatan.

Sementara itu, di Washington pegawai pertahanan Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kepada AFP, Korea Utara melakukan ujian peluru berpandu yang tidak diketahui jenisnya.

Laporan itu turut mengesahkan peluru berpandu itu meletup beberapa saat selepas dilancarkan. Seoul sedang menganalisa jenis dan jarak pelancaran itu.

Utara semakin meningkatkan ketegangan dalam tempoh beberapa bulan dengan melakukan beberapa siri ujian peluru berpandu, termasuk tiga yang dilancarkan jatuh berhampiran perairan Jepun. - AFP

143 dibaca
Berita Harian X