Sabtu, 29 April 2017 | 12:36pm

Kaji punca kelemahan murid

TAIPING: Guru perlu melakukan bedah siasat selepas peperiksaan bagi mengenal pasti kelemahan murid dan melakukan penambahbaikan dalam pengajaran serta pemudahcaraan (PdPc) di dalam bilik darjah.

Pengarah Pendidikan Perak, Mat Lazim Idris, berkata penting bagi guru untuk membuat penilaian bagi mencari punca jika tiada lonjakan dari segi pencapaian akademik murid.

MAT Lazim Idris. - Foto Abdullah Yusof

Katanya, guru tidak boleh hanya menyalahkan murid apabila pencapaian akademik kurang memuaskan, sebaliknya perlu membuat penambahbaikan dari aspek pengajaran.

"Keputusan akademik yang tidak bagus berkemungkinan berpunca daripada kaedah PdPc yang kurang mantap dan tidak bersesuaian dengan masa kini.

"Perkara ini memberi impak besar kepada prestasi murid kerana PdPc yang berkesan terbukti dapat membantu mereka menguasai setiap mata pelajaran dengan baik dan seterusnya memperoleh keputusan memberangsangkan," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Bengkel Akhbar Dalam Darjah (ADD) Zon Batu Kurau, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Majlis Guru Besar (MGB) Zon Batu Kurau dan Pengarang Pendidikan BH, Fadzlena Jafar.

Bengkel setengah hari itu dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Larut Matang dan Selama serta MGB Zon Batu Kurau membabitkan kira-kira 150 guru.I

NFO

Bengkel ADD BH

- Anjuran BH

- Bermatlamat membimbing guru kaedah menggunakan akhbar sebagai sebahagian daripada PdPc di dalam kelas

- Membabitkan mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Sains

Berita Harian X