Sabtu, 29 April 2017 | 1:58pm

Jom [email protected] dapat sambutan

PUTRAJAYA: Program Jom [email protected] anjuran Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) menepati syariat dan memudahkan urusan pernikahan pasangan pengantin, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

"Tahniah diucapkan kepada pihak penganjur yang melaksanakan konsep majlis kahwin beramai-ramai.

"Dengan adanya majlis ini, ia dapat menjimatkan masa, tenaga serta wang bagi pasangan pengantin yang baru mendirikan masjid," katanya dalam ucapan pada majlis itu.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Pengarah Operasi, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yaakob Rahim.

Pada majlis itu, seramai 25 pasangan pengantin selamat dinikahkan oleh enam jurunikah. Semua pengantin itu kemudiannya dibawa menaiki Cruise Tasik sebelum diraikan dalam satu majlis resepsi yang diadakan di Anjung Floria, Putrajaya.

SERAMAI 25 pasangan pengantin dari seluruh negara yang menyertai Program Jom [email protected] di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Sementara itu, Pengerusi MCCF, Halim Ishak, berkata program Jom Nikah itu sudah lima kali dianjurkan tetapi kali pertama diadakan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.

"Walaupun pertama kali dianjurkan di Putrajaya tetapi penerimaannya sangat menggalakkan berbanding ketika diadakan di Kuantan, Pahang.

"Program ini diadakan bagi membantu pasangan pengantin yang berpendapatan bawah RM5,000 supaya terlepas dari bebanan hutang untuk menganjurkan majlis perkahwinan.

"Kami cuba mengajak anak muda terutamanya yang baru menamatkan pengajian supaya tidak bercinta lama-lama. Bayaran yang dikenakan oleh kami mampu dibiayai oleh semua pihak," katanya.

Berita Harian X