Sabtu, 29 April 2017 | 2:37pm

Aiman Tino sudah lali dikecam

AIMAN Tino. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Penyanyi Ku Rela Dibenci, Aiman Tino mengakui sudah lali dikecam malah, menganggap percubaan untuk menjatuhkannya sebagai lumrah yang perlu dilalui dalam perjalanan menuju puncak.

Aiman yang mencetuskan fenomena baharu dalam industri muzik apabila muzik video lagu nyanyiannya meraih 35 juta tontonan sejak dimuat naik di laman YouTube pada Jun tahun lalu, akur tidak semua pihak gembira dengan pencapaiannya.

"Ia perkara lumrah kerana bukan semua pihak menyukai pencapaian kita. Emak dan ayah selalu berpesan, usah pedulikan mereka yang membenci. Tipu jika saya tidak terkesan dengan kata nista dan kecaman yang dilemparkan tanpa perasaan.

"Ia cukup menyakitkan hingga pernah pada satu peringkat, saya hampir lemah semangat. Saya jadi malas mahu memenuhi undangan persembahan. Tetapi, emak dan ayah sentiasa memberikan kata semangat supaya saya terus bangkit," katanya.

Di sebalik dugaan itu, Aiman atau nama sebenarnya, Muhammad Aiman Yusri mampu tersenyum apabila Ku Rela Dibenci terus meraih perhatian. Lagu ciptaan bapanya, Yusri Ishak manakala lirik ditulis ibunya, Riena itu, baru-baru ini diumumkan sebagai antara lagu pilihan pengunjung pada Anugerah Lagu Karaoke Popular 2016 atau Anugerah K-20.

Acara yang dianjurkan pusat karaoke terkenal, Kumpulan Karaoke Red Box itu turut menyaksikan lagu seperti Setia nyanyian Elizabeth Tan dan Faizal Tahir; Potret (Akim & Majistret); Hidup Dalam Mati (Syamel); Sudahku Tahu (Projector Band) ; Hey! Kau (Sandra); Hang Pi Mana (Khalifah) dan Takkan Pergi (Hyper Act) berada dalam senarai lagu bahasa Melayu pilihan.

Dalam perkembangan lain, anak keempat daripada 10 beradik yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu bakal muncul dengan lagu raya, Lara Dalam Kerinduan yang turut mendapat sentuhan bapanya.

"Saya teruja menanti kemunculan single ini yang akan mula dimainkan pada Ramadan ini. Saya tidak sabar menunggu maklum balas peminat. Insya-Allah, pada Julai nanti single ketiga saya pula akan menemui pendengar," kata Aiman yang kini popular dengan lagu Permata Cinta.

Mengenai pencalonan awal pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 3.0, Aiman menyandarkan seluruh harapan kepada peminat untuk memastikan namanya membolosi senarai akhir.

"Saya sudah melakukan pelbagai usaha, termasuk memaklumkan mengenai pencalonan dalam ABPBH 3.0 menerusi laman sosial. Saya percaya kepada rezeki. Insya-Allah, jika memang milik saya pasti ia diterima dengan bangga.

"Tetapi jika bukan rezeki, saya tidak perlu kecewa kerana masih banyak peluang lain yang menanti pada masa depan," katanya.

Berita Harian X