Sabtu, 29 April 2017 | 3:28pm

Bandar Robotik jana lebih 1,000 pekerjaan

DATUK Seri Mohamed Khaled Nordin menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang kepada pelajar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Kali Ke-32 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang. - Foto Omar Ahmad

PASIR GUDANG: Kerajaan negeri yakin lebih 1,000 peluang pekerjaan termasuk berkemahiran tinggi mampu diwujudkan untuk warga tempatan menerusi Bandar Robotik yang bakal dibangunkan di negeri ini pada tahun ini. 

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Bandar Robotik itu dibangunkan Johor Corporation (JCorp) menerusi kerjasama sebuah syarikat sistem robotik dari China membabitkan anggaran pelaburan RM15 bilion. 

Katanya, kerajaan negeri mengenal pasti dua kawasan untuk membangunkan industri berkenaan iaitu Iskandar Malaysia dan Sedenak, Kulai dekat sini. 

"Kemungkinan di Sedenak akan dibangunkan kilang robotik, manakala bagi aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D), pemasaran dan jualan dilakukan di Iskandar Malaysia. 

"Bagaimanapun, perkara ini diperingkat akhir perbincangan bersama syarikat robotik berkenaan dari China," katanya.   

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Kali Ke-32 dan Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang di sini, hari ini. 

Pada 14 April lalu, JCorp memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Beijing Huize Boyuan Robot Investment Company Limited China (Boyuan), di Shanghai, China bagi membangunkan projek Bandar Robotik. 

MoU itu menjadi langkah penting kedua-dua syarikat terbabit untuk memulakan kajian tapak bagi membangunkan kawasan industri robotik di Johor.  

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X