Sabtu, 29 April 2017 | 3:43pm

Graduan perlu berdaya saing: Permaisuri Johor

RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bergambar bersama penerima Anugerah Canselor, Muhammad Khalis Abdul Karim (kiri) dan Syarifuddin Misbari (kanan) pada Majlis Konvokesyen Ke-58 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
RAJA Zarith Sofiah Sultan Idris Shah bergambar bersama penerima Anugerah Canselor, Muhammad Khalis Abdul Karim (kiri) dan Syarifuddin Misbari (kanan) pada Majlis Konvokesyen Ke-58 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Johor Bahru, hari ini. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin

JOHOR BAHRU: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah, meminta graduan untuk mempersiapkan diri supaya lebih berdaya saing dalam usaha menyumbang kepada pembangunan dan masa depan negara.

Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bertitah kelebihan mempunyai segulung ijazah sahaja tidak mencukupi untuk berjaya, sebaliknya perlu dimanfaat bagi mencorak, memimpin dan menjalankan amanah dalam pekerjaan masing-masing menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Sesungguhnya, penguasaan ilmu dan pengalaman yang luas merupakan suatu kelebihan kepada seseorang individu itu. Sehubungan itu, untuk menjadi seorang yang tinggi ilmunya serta berkebolehan adalah dengan membaca.

"Saya percaya amalan membaca pelbagai bahan bacaan ilmiah dapat menjadikan seseorang itu berfikiran matang, terbuka serta tidak mudah percaya dengan berita dan maklumat yang tidak berasas," titah baginda pada Majlis Konvokesyen Ke-58 Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Dr Wahid Omar.

Pada konvokesyen kali ini, seramai 2,842 graduan termasuk 313 graduan antarabangsa dari 28 negara menerima ijazah doktor falsafah, ijazah sarjana, ijazah sarjana muda dan diploma masing-masing.

Raja Zarith Sofiah turut mengingatkan rakyat supaya dapat meluangkan masa bersama keluarga tercinta walaupun sesibuk mana dengan urusan pekerjaan.

"Keluarga adalah sebuah institusi utama yang memainkan peranan dalam membentuk sahsiah diri, perwatakan serta pembangunan insan seseorang individu.

"Sehubungan itu, bagi menjadikan rakyat yang sentiasa hidup dalam keadaan harmoni dan saling bersatu adalah bermula daripada didikan keluarga itu sendiri," titahnya.

Sementara itu, Wahid berkata, ilmu adalah amanah yang boleh menjadi neraca tepat untuk memilih dan bertindak dengan betul, selain berhikmah serta membawa graduan maju ke hadapan.

Katanya, ilmu dan nilai murni yang diterapkan graduan diharap dapat dizahirkan menerusi sifat tidak mementingkan diri, membawa kegembiraan kepada keluarga, membina kesejahteraan kepada masyarakat.

Berita Harian X