Rabu, 7 Januari 2015 | 6:00pm

36 peserta sah penyertaan Regatta Antarabangsa Langkawi

ALOR SETAR: Sejumlah 36 kapal layar tempatan dan luar negara mengesahkan penyertaan pada Kejohanan Regatta Antarabangsa Diraja Langkawi (RLIR) dari 12 hingga 17 Januari ini.

Pengurus Besar Royal Langkawi Yacht Club (RLYC), Wicky Sundram berkata 10 peserta berkenaan adalah dari Malaysia, Britain (tujuh), Australia (enam), Thailand (tiga) dan masing-masing dua dari Singapura dan New Zealand.

Austria, Denmark, China, Hong Kong, Jepun dan Russia, masing-masing akan menyenaraikan seorang peserta dalam kejohanan edisi tahun ini.

"Ia satu penghormatan untuk melihat 36 peserta tahun ini yang termasuk penyertaan global dari beberapa negara, namun lebih banyak peserta dijangka menyertai RLIR tahun ini kerana pendaftaran ditutup pada 12 Januari," katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Beliau berkata juara bertahan, Pasukan Oi! yang diketuai Peter Ahern mengesahkan penyertaan selain pasukan SMU (Singapore Management University) yang memenangi Trofi Cabaran Sukan Langkawi pada 2013.

RLIR 2015 selama enam hari itu mempertandingkan lima kategori iaitu Kelas Racing, Kelas IRC, Kelas Sport, Kelas Multihull dan Kelas Kelab. - BERNAMA

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X