Ahad, 30 April 2017 | 10:10am

Tolak 'Mr U-Turn' keputusan tepat

Para Perwakilan yang hadir pada Majlis Perasmian Muktamar Tahunan Pas kali ke-63 yang dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang Semut, pada 29 April lalu. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Keputusan PAS untuk menyisihkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang disifatkan sebagai 'Mr U-Turn' adalah keputusan tepat bagi masa depan orang Melayu.

Perwakilan PAS Johor, Kolonel (B) Nazari Mokhtar, berkata PPBM mempunyai agenda peribadi yang akhirnya mencetuskan perpecahan dalam kalangan orang Melayu.

Sehubungan itu, katanya, PAS perlu sentiasa berpegang teguh kepada pendirian untuk menjauhkan diri daripada PPBM supaya tidak terus terperangkap dalam kancah politik seperti yang berlaku terhadap tahaluf siyasi dengan DAP sebelum ini.

"Mereka ini (PPBM) 'kaki swing', oleh itu jangan kita bekerjasama dengan parti pimpinan Tun M (Dr Mahathir Mohamad) kerana ia akan memerangkap PAS untuk kali kedua, ketiga dan selama-lamanya.

"Saya juga nak sarankan ahli PPBM yang rasa mereka ditipu untuk tidak beralih kepada PAN (Parti Amanah Negara) atau PKR, sebaliknya terimalah PAS sebagai keluarga baharu.

"Peralihan mereka kepada PKR dan PAN hanya akan merugikan orang Melayu kerana ia melebarkan lagi jurang perpecahan antara kita," katanya ketika membahaskan ucapan dasar Presiden sempena Muktamar PAS Ke-63, di sini sebentar tadi.

PAS sebelum ini memutuskan untuk tidak bekerjasama dengan PPBM yang disifatkan sebagai parti 'bercelaru' dalam menentukan hala tuju politiknya di negara ini.

Nazari berkata, keputusan PAS untuk memutuskan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP adalah 'rahmat' terhadap parti untuk bebas daripada cengkaman pengaruh pegangan liberal dan sosialis.

"Nampak sangat mereka cuba 'perkudakan' kita ketika menjadi anggota dalam pakatan pembangkang dulu, namun sekarang PAS sudah 'merdeka' dan mampu menentukan hala tujunya sendiri.

"Ia hasil kebijaksanaan kepemimpinan tertinggi PAS, namun yang menyedihkan apabila ada antara kaki rakan kita tersangkut dengan 'pukat' mereka sehingga bertindak keluar parti.

"Sudahlah bertindak keluar parti, mereka siap kata kita pemakan dedak sedangkan sampai ke hari ini saya tak pernah tengok pun macam mana rupa dedak," katanya.

Berita Harian X