Ahad, 30 April 2017 | 11:23am

AADK tahan 62 penagih


Pengarah Pencegahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Abdul Rahman Hamid. - Foto Muhammad Sulaiman

JITRA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menahan 62 penagih dalam serbuan di beberapa lokasi di daerah ini yang dikesan menjadi sarang penagihan dadah.

Pengarah (Pencegahan) AADK, Abdul Rahman Hamid, berkata operasi bermula jam 2.30 petang semalam hingga larut malam dan sehingga jam 10.30 malam tadi, seramai 67 individu ditahan dalam pemeriksaan di beberapa lokasi dan rumah yang disyaki di sekitar daerah ini.

"Daripada jumlah itu, seorang wanita berusia 21 tahun ditahan dan selebihnya lelaki namun hasil pemeriksaan ujian saringan air kencing mendapati 62 daripadanya positif dadah.

"Lima daripadanya yang disahkan negatif melalui saringan air kencing dibebaskan dengan jaminan," katanya ketika ditemui di salah satu lokasi serbuan di Tunjang, malam tadi.

Abdul Rahman berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) kudung separuh badan berusia 42 tahun yang disyaki tokan dadah selain dua beradik yang disyaki penagih.

Beliau berkata, operasi itu bertujuan untuk membendung masalah penagihan dadah di daerah ini dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan penagih dadah di negara ini.

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

 

216 dibaca
Berita Harian X