Ahad, 30 April 2017 | 2:39pm

Bursa Malaysia iktiraf broker, pengantara pasaran

DATUK Seri Tajuddin Atan. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd akan menganjurkan 'Bursa Malaysia Excellence Awards 2016 Gala Nite' bagi mengiktiraf prestasi cemerlang broker dan pengantara pasaran saham sepanjang 2016.

Acara yang akan diadakan pada 3 Mei itu akan dirasmikan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Bertemakan Mengiktiraf Yang Terbaik di Malaysia, anugerah pada tahun ini terbahagi kepada 18 kategori, yang mana kriteria pemilihan diperketatkan dan penilaian bersandarkan kepada nilai dagangan dan kadar pematuhan.

Bagi broker saham pula, jumlah akaun baharu Sistem Depositori Pusat (CDS) yang dibuka akan turut diambil kira.

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Atan, dalam satu kenyataan berkata, anugerah tahun ini turut memperkenalkan kategori baharu bagi mengiktiraf sumbangan individu dalam kalangan komuniti berkenaan.

Majlis penganugerahan itu pertama kali diperkenalkan Bursa Malaysia pada tahun 2014.

Anugerah itu mengiktiraf sumbangan broker saham dan pengantara pasaran dalam mewujudkan peluang pelaburan bagi pelabur, selain meningkatkan kecairan pasaran.

Pada suku pertama 2017, broker dan pengantara pasaran terus memainkan peranan penting dalam mempromosi nilai pasaran modal tempatan, sekali gus menjurus kepada aliran masuk modal asing yang sihat.

Pada suku pertama 2017, aliran masuk modal asing bersih terkumpul ke dalam pasaran saham tempatan berjumlah RM5.71 bilion, tertinggi dalam kalangan pasaran membangun ASEAN.

Berita Harian X