Isnin, 1 Mei 2017 | 6:00am

Membendung 'barah' fitnah WhatsApp


- Gambar hiasan

Beberapa hari kebelakangan ini, isu mengenai admin WhatsApp boleh diambil tindakan sekiranya menyebarkan maklumat palsu menjadi topik utama perbincangan majoriti rakyat negara ini.

Di mana-mana sahaja, semua sibuk memperkatakan mengenai isu ini yang sedikit sebanyak turut menimbulkan rasa takut terutama dalam kalangan mereka yang menjadi pentadbir (admin) kumpulan berkenaan, tidak terkecuali isteri saya.

Ternyata laporan pertama berita yang disiarkan di muka hadapan akhbar ini memberi impak besar kepada masyarakat. Malah, kesempatan turut diambil oleh syarikat piza terkenal dengan menjadikannya sebagai bahan 'troll' bagi menarik pelanggan, sekali gus melariskan jualan mereka.

Isu ini dibangkitkan di negara kita susulan laporan media antarabangsa selepas satu daerah di India, Varanasi yang menguatkuasakan undang-undang mengenakan hukuman penjara terhadap admin kumpulan WhatsApp sekiranya gagal membendung penyebaran maklumat palsu, walaupun ia disebarkan oleh ahli kumpulan terbabit.

Pada era 1990-an, kita hanya menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) sebagai medium untuk menghantar dan menerima sesuatu maklumat kerana ketika itu belum wujud lagi aplikasi sosial seperti yang ada sekarang. Pengguna juga belum didedahkan dengan viral kerana fungsi aplikasi yang terhad.

Bagaimanapun, kecanggihan teknologi seiring peredaran zaman mengubah landskap semasa dengan terciptanya pelbagai aplikasi sosial, termasuk WhatsApp yang diasaskan oleh pengatur cara komputer kelahiran Ukraine, Jan Koum pada 2009, ketika berusia 33 tahun.

Tak terkawal

Sejak itu, penggunaan aplikasi pesanan semakin berkembang dan popular dalam kalangan pengguna telefon bimbit hingga lahir pula aplikasi sosial lain seperti WeChat, Telegram, LINE, Viber, Facebook dan sebagainya yang mempunyai fungsi lebih kurang sama dan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Setiap aplikasi itu mempunyai pro dan kontra, bergantung kepada bagaimana seseorang itu mengendalikannya. Namun, penggunaan secara tidak terkawal atau tanpa etika boleh mengundang pelbagai implikasi, malah lebih buruk boleh memporak-perandakan negara.

Sebelum menubuhkan satu kumpulan dalam aplikasi pesanan, perkara penting yang perlu diambil kira admin adalah apa niat ia ditubuhkan? Apa matlamat yang ingin dicapai melalui penubuhan kumpulan itu? Untuk apa tujuannya, sama ada baik atau sebaliknya?

Niat dan perlakuan adalah asas kepada undang-undang, justeru sebagai admin kumpulan mereka perlu bertanggungjawab terhadap setiap isi kandungan maklumat yang diterima dan mereka juga wajar dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku penyebaran maklumat oleh ahlinya.

Tetapi, jika niatnya menubuhkan kumpulan itu baik, tetapi ada yang melanggar terma rujukan itu, maka admin perlu bertanggungjawab untuk memberi nasihat dan jangan diamkan sahaja perkara itu daripada berleluasa yang akhirnya dikhuatiri memberi kesan kepada negara.

Tampil buat laporan

Tidak perlulah menubuhkan kumpulan dalam aplikasi pesanan tidak kiralah WhatsApp atau seumpanya jika niatnya untuk menyebarkan berita palsu, fitnah atau tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman, malah kita perlu berhati-hati sebelum berkongsi maklumat.

Dalam hal ini, sesiapa sahaja tidak kira individu dalam atau luar kumpulan boleh tampil membuat laporan sekiranya ada berlaku penyebaran maklumat palsu atau berniat jahat.

Setiap tindakan dibuat mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang mana selepas aduan diterima, proses siasatan bermula, termasuk menganalisis bukti dan sekiranya wujud kes yang boleh didakwa, maka kertas siasatan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Admin juga boleh dipanggil untuk membantu siasatan, namun, apa juga tindakan yang bakal diambil terhadapnya bergantung kepada keterangan dan fakta setiap kes.

Sudah tentu kerajaan serius dalam menangani isu ini tetapi, tidak perlu sehingga menggubal akta baharu atau merujuk kepada negara lain untuk melaksanakan tindakan ini kerana undang-undang kita yang sedia ada mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 sudah memadai untuk menghukum pesalah.

Patuh garis panduan

Namun, tidak semua kesalahan alam maya itu tertakluk di bawah akta itu kerana kita juga mempunyai Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957 dan Kanun Keseksaan yang terpakai untuk kesalahan itu.

Dalam hal ini juga, saya mahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) melihat perkara ini secara lebih serius, termasuk mempertimbangkan cadangan mewujudkan garis panduan penggunaan aplikasi pesanan dan seumpamanya sebagai rujukan kepada admin supaya mereka tahu had dan batasan mereka dalam mengendalikan kumpulan itu, apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dilakukan.

Kita hidup dalam sebuah negara yang aman dengan dihuni pelbagai masyarakat berbilang kaum. Bayangkan jika setiap hari kita menyebarkan fitnah, sudah tentu lama-kelamaan ia akan menjadi barah dan boleh meruntuhkan negara.

Apa yang penting di sini adalah admin perlu menyemak terlebih dulu setiap maklumat yang diterima dan membuat rujukan bagi menentukan kesahihannya, begitu juga dengan ahli di dalamnya kerana apa yang kita mahu akhirnya adalah menjadi rakyat yang bertanggungjawab.

Penulis adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia

32 dibaca
Berita Harian X