Isnin, 1 Mei 2017 | 7:00am

Bank perlu lebih bertolak ansur beri pinjaman


REHDA minta institusi kewangan ambil kira pendapatan sampingan isi rumah.

PERSATUAN Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA) mencadangkan bank supaya lebih bertolak ansur memberikan pinjaman kepada pembeli rumah baharu dengan menimbangkan pendapatan isi rumah tambahan yang dijana.

Bekas Presidennya, Datuk Ng Seing Liong, berkata beberapa perniagaan yang dijalankan secara persendirian tidak mempunyai penyata gaji.

"Guru memberikan perkhidmatan tuisyen, namun apa yang mereka peroleh tidak dinyatakan di dalam penyata gaji. Jika guru memberitahu mereka ada memberikan perkhidmatan tuisyen, bank sewajarnya memberi pertimbangan.

"Contoh lain, suami memperoleh RM3,000 sebulan manakala isterinya mengambil upah menjaga dua orang bayi di rumah. Seorang bayi dicaj RM800 dan ini bermakna keluarga berkenaan mempunyai pendapatan isi rumah RM4,600 sebulan.

"Maka, bank wajar mempertimbangkan kes sedemikian. Buat masa ini, bank bergantung kepada penyata gaji bagi menentukan jumlah pinjaman rumah pemohon," katanya pada ceramah bertajuk 'Kemampuan dan Kesalinghubungan' semasa Ekspo Hartanah Malaysia (MAPEX 2017) di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Seing Liong, yang juga Pengerusi Penganjur MAPEX berkata, bank sepatutnya tidak terlalu mengenakan syarat ketat kepada pemilik berpotensi yang mampu menyediakan sehingga 30 peratus deposit untuk pembelian rumah.

"Jika mereka mampu membayar 30 peratus daripada jumlah keseluruhan, pembeli ini mampu untuk membayar pinjaman rumah," katanya.

Beliau juga menasihatkan pembeli supaya tidak memilih rumah yang memerlukan mereka memandu lebih daripada sejam sehari untuk berulang alik ke tempat kerja.

Pembeli juga, katanya, tidak sewajarnya menggunakan pengangkutan awam lebih daripada dua jam sehari untuk ke tempat kerja.

Sementara itu, pada MAPEX 2017, pelbagai rumah mampu milik berharga di bawah RM500,000 turut menjadi perhatian semasa acara tiga hari di Pusat Pameran Mid Valley (MVEC) dari 14 hingga 16 April lalu.


MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai (kanan); Presiden REHDA, Datuk Seri FD Iskandar (kiri) dan Seing

Acara dikendalikan oleh REHDA itu mempunyai ruang pameran bagi Rumah Selangorku dan Rumah Wilayah Persekutuan (RUMAWIP), yang mana pengunjung mendapatkan maklumat penting mengenai projek kediaman kos rendah.

Sebagai contoh, RUMAWIP membangunkan 12 projek perumahan mampu milik sekitar Kuala Lumpur berharga antara RM198,000 dan RM 300,000.

Unit rumah berkenaan terbuka kepada pemohon yang pada masa ini mendiami atau bekerja di ibu negara.

Pengunjung MAPEX juga berpeluang mengetahui dengan lebih lanjut mengenai projek Rumah Selangorku di negeri itu, yang termasuk rumah jenis townhouse (bandar), pangsapuri dan teres berharga dari RM42,000 hingga RM250,000.

Unit berkenaan terletak di pelbagai daerah seluruh Selangor seperti Klang, Sepang, Gombak, Petaling Jaya, Hulu Langat, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Selain itu, pemaju persendirian lain turut memperagakan hartanah seperti pangsapuri, rumah teres setingkat dan townhouse satu setengah tingkat berharga di bawah RM500,000.

Kebanyakan projek berkenaan terletak di Bangi, Nilai dan Senawang. Pembeli yang berminat mendapatkan rumah di Lembah Klang pula berpeluang melihat projek DIVO @ The Zizz di Damansara Damai, yang menampilkan pangsapuri servis tiga bilik berharga dari RM337,000.

INFO
MAPEX 2017

  • Siri pertama diadakan pada tahun ini
  • REHDA menyasarkan potensi jualan RM300 juta
  • Menawarkan rebat RM30,000 kepada 30 pembeli pertama
dibaca
Berita Harian X