Isnin, 1 Mei 2017 | 9:12am

1,000 penunggang tolak motosikal 5km

ANTARA penunggang motosikal yang ditahan dalam Ops Bersepadu di persimpangan Sua Betong, Port Dickson, malam tadi. 2. Penunggang motosikal diarah menolak motosikal sejauh lima kilometer dalam Ops Bersepadu di persimpangan Sua Betong, Port Dickson, malam tadi.- Foto Khairul Najib Asarulah Khan

PORT DICKSON: Kira-kira 1,000 penunggang motosikal diarah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer dalam Ops Bersepadu di persimpangan Sua Betong di sini, malam tadi.

Operasi bermula jam 9 malam itu dijalankan oleh tujuh pegawai dan 113 anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD).

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri, Superintendan Md Dali Wahid, berkata dalam operasi itu juga, tiga kenderaan polis remuk dan calar apabila beberapa penunggang cuba melarikan diri dengan merempuh.

Katanya, operasi itu bertujuan mengesan penunggang yang tiada lesen dan mengubah suai motosikal selepas menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai bunyi bising.

"Ops ini dilakukan dengan mengepung beberapa jalan utama di persimpangan Sua Betong untuk mengesan penunggang motosikal yang datang dari pelbagai lokasi.

"Mereka kemudian diarah menolak motosikal masing-masing sejauh lima kilometer iaitu dari persimpangan ini ke Balai Polis Telok Kemang," katanya di sini, hari ini.

Md Dali berkata, walaupun berlaku insiden penunggang cuba melarikan diri termasuk menyorokkan motosikal di paya dan lari mengikut bukit, tetapi mereka berjaya ditahan.

Katanya, tiada anggota cedera dalam operasi diketuai Timbalan Ketua Polis IPD Port Dickson, Deputi Superintendan Zainudin Ahmad itu.

"Pihak kami masih menjalankan siasatan lanjut terhadap semua penunggang yang ditahan termasuk menjalankan ujian air kencing," katanya.

 

Berita Harian X