Rabu, 7 Januari 2015 | 10:57pm

Golf: Kemarol, Mardan, Wisut dahului di Templer Park

KUALA LUMPUR: Tiada kejutan besar berlaku pada hari pertama Kejohanan Golf Panasonic Terbuka Malaysia - Tournament of Champions 2015 di Kelab Golf & Country Templer Park di Rawang, hari ini.

Tiga pemain terikat pukulan sama selaku pendahulu bersama iaitu juara bertahan, Kemarol Baharin yang membuat tiga bawah par 69 pukulan dengan pemain Singapura, Mardan Mamat dan Wisut Artjanawat dari Thailand menyamai usahanya dalam kejohanan bernilai RM250,000 itu.

Satu lagi pukulan di belakang trio itu pada kedudukan tempat keempat adalah seorang lagi pemain Thailand, Kwanchai Tannin.

Sementara itu, empat pemain negara - Shaaban Hussin, Danny Chia serta pemain amatur, Gavin Green dan Nicholas Fung - terikat pada satu bawah par 71, begitu juga pemain Jepun, Mitsuhiko Hashizume.

Jhonnel Ababa dari Filipina dan pemain Malaysia, Kenneth De Silva serta Arie Irawan terikat pada tempat ke-10 dengan par 72.

Hujan turut menjejaskan rentak permainan hari ini.

Pengurus Besar Jelajah PGM, Mior Abdul Rahman berkata mereka amat teruja dengan kempen baharu ini dan mahu mengecapi satu musim penuh bermakna.

"Jumlah hadiah wang melebihi RM6 juta serta keseluruhan 43 kejohanan menceritakan banyak lagi dapat kita saksikan di gelanggang nanti. Kami menghargai sokongan rakan penaja untuk bersama meningkatkan tahap golf tanah air," katanya.

KEPUTUSAN PUSINGAN PERTAMA

69 - Kemarol Baharin (Mas), Mardan Mamat (Sin), Wisut Artjanawat (Tha)

70 - Kwanchai Tannin (Tha)

71 - Shaaban Hussin (Mas), Danny Chia (Mas), Mitsuhiko Hashizume (Jpn), Gavin Kyle Green (Mas-Am), Nicholas Fung (Mas)

72 - Jhonnel Ababa (Phi), Kenneth De Silva (Mas), Arie Irawan (Mas)

73 - Sukree Othman (Mas), Masaru Takahashi (Jpn)

74 - Ben Leong (Mas), Peter Richardson (Eng), Md Rashid Ismail (Mas), James Bowen (AS)

Berita Harian X