Isnin, 1 Mei 2017 | 7:09pm

Pesta 'Lumpor Moh Poei Berkubang' dapat sambutan

PENGERUSI FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad melepaskan ikan di dalam baldi sebagai gimik pelancaran Pesta Lumpor Moh Poei Berkubang di Kampung Gajah Mati. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap
PENGERUSI FGV Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad melepaskan ikan di dalam baldi sebagai gimik pelancaran Pesta Lumpor Moh Poei Berkubang di Kampung Gajah Mati. - Foto Abnor Hamizam Abd Manap

BATU KIKIR: Pesta 'Lumpor Moh Poei Berkubang' di Kampung Gajah Mati di sini, mendapat sambutan apabila orang ramai berpeluang bermain bola sepak sawah dan menangkap ikan atau mengoca di sawah padi.

Golongan muda terutama kanak-kanak yang pertama kali berkubang dalam petak sawah, dilihat paling gembira kerana berjaya mengembalikan kenangan ibu bapa mereka yang pernah berbuat perkara sama sebelum ini.

Ketua Pemuda UMNO cawangan Kampung Gajah Mati, Abdul Halim Mohamad, 34, berkata kali terakhir program anjuran UMNO cawangan itu diadakan adalah lapan tahun lalu.

Katanya, program itu berjaya diadakan selepas mendapat permintaan daripada penduduk kampung yang mengadakan persiapan sejak sebulan lalu.

"Suatu ketika dahulu sawah padi menjadi tempat bermain terutama selepas musim menuai kerana terdapat banyak ikan seperti puyu, haruan dan sepat, tetapi sekarang semua itu sudah tiada, sebab itu kita sepakat mengadakan pesta ini," katanya selepas majlis perasmian Pesta 'Lumpor Moh Poei Berkubang' di Kampung Gajah Mati di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ahli Parlimen Jempol yang juga Pengerusi FGV, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad.

Sebanyak 12 pasukan termasuk dua pasukan dari kaum India menyertai pertandingan bola sepak sawah, manakala bagi merancakkan pesta sebanyak 150 kilogram ikan semilang dilepaskan dalam sawah untuk acara mengoca.

Berita Harian X