Isnin, 1 Mei 2017 | 7:18pm

Penggunaan Biodiesel B10 di Malaysia masih jadi tanda tanya

KUALA LUMPUR: Kebanyakan negara termasuk Indonesia sudah lama menggunakan biodiesel B10 sebagai bahan api alternatif untuk kenderaan di negara mereka.

Biodiesel B10 adalah bahan bakar yang mempunyai campuran 10 peratus metil ester sawit dan 90 peratus diesel biasa.

Biodiesel sawit bukanlah sesuatu yang baharu bagi Malaysia kerana sejak penghujung tahun 2014, semua diesel yang dijual di stesen minyak sebenarnya adalah biodiesel iaitu B7 dengan campuran 7% metil ester sawit.

Namun di Malaysia, walaupun rancangan penggunaan biodiesel B10 untuk kenderaan sudah lama diumumkan oleh kerajaan, namun hingga kini ia masih tidak menjadi kenyataan.

Antara halangan dipercayai menyumbang terhadap penangguhan penggunaan bahan api alternatif itu, termasuk desakan persatuan, pengeluar kenderaan serta kemahuan politik di pihak kerajaan.

Minggu lalu, BH berpeluang mengikuti lawatan kerja Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) ke Jakarta bagi meninjau sendiri pengalaman pelaksanaan biodiesel di negara jiran itu.

Penggunaan B10 di Indonesia sudah tinggal sejarah. Negara itu kini sudah beralih kepada B20 sejak tahun lalu dan kini dalam persiapan ke arah pelaksanaan B30 menjelang 2020, iaitu cuma tiga tahun saja lagi.

Menurut Direktur Bioenergi Kementerian Energi Dan Sumber Daya Mineral Indonesia, Dr Sudjoko Harsono Adi, program penggunaan biodiesel di Indonesia bermula pada 2006 melalui arahan Presiden dan penetapan dasar sebelum mula dilaksanakan secara mandatori pada 2009.

Beliau berkata, pada fasa permulaannya menyaksikan biodiesel B2.5 diperkenalkan, kemudian campuran itu dipertingkatkan secara berperingkat kepada B5 dan B7.5 pada pertengahan 2012.

Pada 2014, Indonesia mewajibkan penggunaan B10. Pada 2015, campuran itu dipertingkat lagi kepada B15 dan pada Januari 2016 penggunaan diesel B20 adalah mandatori bagi kenderaan kategori Public Service Obligation (PSO).

Menurut data kementerian itu, sepanjang 2016 saja republik itu berjaya menjimatkan perbelanjaan sebanyak AS$1.1 bilion hasil daripada pengurangan kebergantungan terhadap Bahan Bakar Minyak (BBM) yang diimport.

Bagi pembebasan gas rumah kaca pula, ia berjaya dikurangkan sebanyak 4.5 juta tan karbon dioksida (CO2), bersamaan dengan gas yang dihasilkan oleh 16,300 bas kecil.

Berbeza dengan Malaysia, pelaksanaannya di Indonesia mendapat sokongan padu Gabungan Industri Kenderaan Bermotor Indonesia (GAIKINDO), persatuan automotif terbesar negara itu.

Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri GAIKINDO, Abdul Rochim, berkata data saintifik adalah hujah terbaik meyakinkan orang ramai dan pengeluar automotif untuk beralih kepada biodiesel B20.

"Pada pandangan saya, pemerintah Malaysia harus tegas dalam isu ini," katanya kepada pemberita dalam satu taklimat di Jakarta, baru-baru ini.

Ketegasan pelaksanaan dasar oleh kerajaan serta keinginan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil membolehkan Indonesia hari ini berada di depan dalam penggunaan biodiesel di dunia.

Menurut Pengerusi Asosiasi Pengusaha Truk Indonesia (APTRINDO), Dr Gemilang Tarigan, terdapat sekitar 6.2 juta trak di Indonesia menggunakan B20, yang mana di Jakarta saja, terdapat sekitar 30,000 trak.

"Setakat ini, kita tiada masalah menggunakan B20," katanya.

Bagaimanapun, harga runcit B20 di Indonesia lebih murah berbanding diesel premium kerana ia mendapat subsidi kerajaan. Di Malaysia, berikutan ketiadaan subsidi, perbezaan harga antara B10 dan diesel premium adalah kecil.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Utama merangkap Ketua Kumpulan Teknologi Biodiesel MPOB, Dr Harrison Lau Lik Nang, berkata di Malaysia, selain melakukan ujian dalaman sendiri, MPOB juga bekerjasama dengan Persatuan Pengeluar Automotif Jepun (JAMA).

Katanya, JAMA meluluskan penggunaan sehingga campuran B20 yang antara syaratnya, adalah bagi minyak sawit saja dan untuk kenderaan yang mempunyai taraf emisi sehingga Euro 4.

"Selepas ujian demi ujian di makmal, di atas jalan, di dalam dan luar negara, hasil penyelidikan menunjukkan biodoesel B10 tidak memberi masalah kepada enjin," katanya.

JAMA turut menyatakan tiada sebarang pengubahsuaian perlu dilakukan pada kenderaan untuk menggunakan diesel sehingga taraf B20, tetapi pengubahsuaian bahagian tertentu diperlukan sekiranya ingin pergi lebih daripada itu.

Kedua-dua persatuan trak dari Malaysia, Persatuan Pengangkutan Malaysia dan Persekutuan Trak Malaysia yang turut mengikuti lawatan kerja MPOB ke Jakarta tidak menentang penggunaan B10, tetapi mereka memerlukan kata sepakat dari pengeluar kenderaan masing-masing, khususnya berhubung jaminan.

Pelaksanaan campuran B10 di Malaysia akan hanya membabitkan diesel jenis Euro 2M, manakala diesel Euro 5 akan terus menggunakan campuran B7.

Ketika ini, bahan api diesel yang dijual di stesen minyak di seluruh Malaysia adalah campuran B7, iaitu yang mengandungi tujuh peratus metil ester sawit dan 93 peratus diesel petroleum biasa.

info

* Minyak biodiesel sawit dihasilkan melalui proses transesterifikasi dan esterifikasi

* Diesel petroleum adalah pecahan spesifik yang diperoleh daripada penapisan minyak petroleum mentah

* Penggunaan minyak sawit yang diolah untuk dijadikan biodiesel menjadikan bahan api itu sebagai sumber bahan api yang boleh diperbaharui.

* Ini berbeza dengan diesel petroleum yang diperoleh daripada sumber terhad dan tidak boleh diperbaharui

Berita Harian X