Isnin, 1 Mei 2017 | 10:27pm

7 maut, suspek militan serang van bawa wang

FOTO hiasan. Indian polis. - Foto REUTERS

SRINAGAR: Sekurang-kurangnya tujuh orang termasuk lima anggota polis terbunuh apabila sekumpulan penyerang bersenjata disyaki anggota militan menyerang sebuah van yang membawa wang tunai.

Ketua Pengarah Polis, SP Vaid, berkata semua mangsa yang maut itu adalah penumpang van termasuk dua pekerja bank itu.

Kejadian berlaku ketika van terbabit dalam perjalanan pulang ke bank di kampung Pumbai dalam daerah Kulgam, kira-kira 70 kilometer di selatan Srinagar apabila diserang hendap.

Seorang pegawai polis yang enggan dikenali berkata, penyerang turut membawa lari wang tunai dan senjata yang dirampas daripada mangsa.

Kumpulan militan sejak beberapa bulan lalu menjadikan bank di sekitar lembah Kashmir sebagai sasaran, iaitu lokasi pertempuran antara pemberontak bersenjata dan pasukan keselamatan.

Minggu lalu, polis menggagalkan satu serangan didalangi dua lelaki bersenjata ke atas sebuah bank di selatan daerah Anantnag. Seorang penyerang berjaya ditahan manakala seorang melarikan diri.

Sentimen anti-India masih mendalam di Kashmir berikutan perbezaan pendapat antara golongan menyokong penyatuan Kashmir bersama Pakistan dan puak yang mahu Kashmir mendapat taraf wilayah merdeka. - AFP

Berita Harian X