Selasa, 2 Mei 2017 | 6:00am

Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi jadi tema


Richard Riot bersama warga kerja Kementerian Sumber Manusia Negeri Johor pada majlis perjumpaan khas.

Kerajaan menyasarkan sebanyak 35 peratus pekerja berkemahiran tinggi daripada  jumlah keseluruhan tenaga kerja di negara ini menjelang 2020.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem, berkata ia selari dengan teras strategik Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11) yang menetapkan  bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) diperkukuhkan dan dimartabatkan untuk memenuhi kehendak pekerja berkemahiran dalam pasaran buruh negara.

Bagi memastikan objektif itu dicapai, katanya, individu yang berminat digalakkan menceburi bidang kemahiran melalui program latihan up-skilling, re-skilling dan profesional bagi mempertingkatkan kemajuan kendiri, sekali gus dapat menyesuaikan diri dengan keperluan kerja masa hadapan.

"Secara keseluruhan, bidang TVET menghasilkan modal insan berkemahiran bertaraf dunia yang diperlukan Malaysia dalam fasa terakhir untuk mencapai taraf negara maju menjelang 2020.

"Pelbagai inisiatif sudah dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia menerusi jabatan dan agensi di bawahnya bagi menjana, mengekalkan dan memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi negara.

"Antara inisiatif itu, termasuk memperluaskan akses untuk mendapat latihan membabitkan bidang TVET, menyediakan kemudahan pinjaman dan pembiayaan melalui Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) untuk lepasan sekolah dan pekerja serta memperkasakan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN)," katanya.

Kaji semula akta perburuhan

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji semula akta perburuhan untuk meningkatkan standard perburuhan di Malaysia mengikut prinsip digariskan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Katanya, akta baharu juga perlu seiring dengan keperluan dan perkembangan semasa.

"Kementerian mempunyai draf cadangan pindaan terhadap Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 dan dijangka dibentangkan untuk bacaan kedua dalam Parlimen pada sesi akan datang.

"Undang-undang perburuhan lain yang sedang dikaji semula, termasuk Akta Kerja 1955, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67), Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959," katanya.


Richard Riot menjelaskan Kementerian Sumber Manusia sedang mengkaji semula akta perburuhan untuk meningkatkan standard perburuhan di Malaysia mengikut prinsip digariskan ILO.

Mengulas mengenai inisiatif pihaknya membantu pekerja mahir mendapat kerja bersesuaian, Richard Riot berkata, kementeriannya menerusi Jobs Malaysia dan Jabatan Tenaga Kerja membuat pemadanan pekerjaan, sekali gus melancarkan proses mencari kerja.

Malah, katanya, Jobs Malaysia sentiasa aktif mempromosikan kekosongan pekerjaan bagi memenuhi keperluan dan kekosongan majikan.

"Sepanjang tahun lalu, 176,105 individu yang mencari kerja berjaya mendapat pekerjaan yang dilaksanakan Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan, Jabatan Kerja Semenanjung Malaysia.

"Daripada jumlah berkenaan, 73,769 individu terbabit berjaya ditempatkan menerusi program penempatan Pembangunan Pasaran Buruh manakala 47,140 penempatan pekerjaan menerusi program Karnival Kerjaya.

"Seramai 22,314 pula berjaya mendapat pekerjaan melalui portal Jobs Malaysia," katanya.

Mengenai Hari Pekerja yang disambut setiap 1 Mei, Richard Riot berkata, ia adalah sebagai hari meraikan, mengiktiraf dan menghargai sumbangan pekerja kepada negara.

"Berbeza dengan beberapa negara lain yang menjadikan hari itu sebagai platform untuk membuat tuntutan dan demonstrasi kepada kerajaan dan majikan. Kemeriahan dan keceriaan sambutan Hari Pekerja di negara kita menunjukkan suasana harmoni yang jelas di antara pekerja, majikan dan industri dan Kerajaan," katanya.

Anugerah khas

Beliau berkata, bagi menghargai pekerja, beberapa anugerah khas turut diberikan sebagai tanda penghormatan dan penghargaan jasa dan sumbangan mereka. Anugerah khas juga diberikan kepada majikan yang menunjukkan prestasi membanggakan dalam kategori tertentu.

Antara anugerah yang diberikan kepada pekerja adalah Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Eksekutif), Anugerah Tokoh Pekerja Negara (Bukan Eksekutif), Anugerah Tokoh Pekerja Negara (OKU) dan Anugerah Kesatuan Sekerja Cemerlang (Sektor Awam).

Sehubungan itu, katanya, tema Hari Pekerja 'Pekerja Kreatif Pencetus Inovasi' memberi penekanan kepada keupayaan seseorang pekerja yang mempunyai daya fikiran tinggi dan berkebolehan untuk melahirkan atau mencipta serta mengembangkan idea baharu yang secara langsung mencetuskan sesuatu pembaharuan dalam menghasilkan produk bermutu tinggi atau menawarkan perkhidmatan yang terbaik dan cemerlang kepada pelanggan.

Berita Harian X