Selasa, 2 Mei 2017 | 11:40am

Cadangan bayar semula wang lindungi Trump, keluarga

FORT LAUDERDALE: Florida dan New York mengalu-alukan cadangan bajet kebangsaan untuk membayar semula jutaan wang yang sudah dibelanjakan untuk melindungi Presiden Donald Trump dan keluarganya, ketika tinggal di kediaman peribadinya.

Rang undang-undang yang diluluskan semalam, memperuntukkan AS$61 juta (RM265 juta) bagi membiayai kos tambahan bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Menara Trump, di New York dan di resort Mar-a-Lago di Palm Beach County, Florida, sejak 8 November lalu.

Resort Mar-a-Lago di Palm Beach County, Florida.

Dewan Kongress pada 30 September lalu meluluskan peruntukan sebanyak AS$7 juta (RM30 juta).

Wang berkenaan juga akan digunakan untuk membiayai kos lawatan Trump ke resort miliknya di Bedminster, New Jersey, berikutan cuaca kini dilaporkan lebih panas di kawasan utara negara itu.

Masing-masing New York sudah membelanjakan hampir AS$30 juta (RM130 juta), manakala Palm Beach County sebanyak AS$5 juta (RM22 juta) dan mengemukakan aduan kerana tidak menerima bayaran balik daripada Washington.

"Kami akan mendapatkan kembali hutang yang diberikan. Ia satu berita baik bagi bandar kita dan kepada pegawai polis yang bekerja keras bagi menghadapi cabaran keselamatan yang tidak dijangkakan ini," kata Datuk Bandar New York, Bill de Blasio dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pesuruhjaya Palm Beach County, Dave Kerner yang sebelum ini bercadang mengenakan cukai khas kepada Mar-a-Lago, jika tidak menerima bayaran balik, berkata beliau gembira dengan berita itu kerana perbelanjaan keselamatan menjejaskan rizab bajet mereka.

"Ini bukan mengenai politik, kami gembira untuk menerima kehadiran presiden di sini.

"Ini (bayaran balik) akan memudahkan kami menyediakan kawalan keselamatan yang berhak diterima seorang presiden," katanya. - AP

Berita Harian X