Selasa, 2 Mei 2017 | 2:11pm

RM80,000 jadi rebutan di Tasik Metropolitan


Kamarulzaman (kiri) dan Datuk Ibrahim (tiga dari kiri) melepaskan ikan keli ke Tasik Metropolitan.

KUALA LUMPUR: Tasik Metropolitan, Kepong, dijangka menjadi tumpuan ribuan kaki pancing, Ahad ini, berikutan destinasi itu yang juga dikenali sebagai Taman Layang-Layang adalah lokasi siri pertama pertandingan memancing GP KOPDBKL 2017.

Pertandingan memancing anjuran Koperasi Pegawai-Pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur  (KOPDBKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menawarkan hadiah keseluruhan bernilai hampir RM80,000.

 Juara siri pertama akan membawa pulang RM40,000, naib juara RM10,000 dan ketiga RM5,000.

Untuk menarik lebih ramai kaki pancing menyertai GP KOPDBKL 2017, penganjur turut menawarkan hadiah wang tunai kepada pemenang di tempat keempat hingga ke-60.   

Sebagai simbolik pertandingan, penganjur melepaskan ikan patin dan keli ke Tasik itu, semalam.   

Acara itu disempurnakan oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Datuk Ibrahim Yusoff dan turut hadir Pengerusi KOPDBKL, Kamarulzaman Mat Salleh, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Penjaja DBKL, Zaharuddin Datuk Basiron dan Ahli Lembaga Pengarah KOPDBKL. 

Kamarulzaman, berkata pertandingan itu adalah siri pertama daripada empat siri GP KOPDBKL 2017 yang dirancang tahun ini.   

Katanya, siri pertama ini bakal menyaksikan semua spesis ikan berpeluang muncul juara berikutan pihak kami menggunakan sistem mata, berbanding sistem berat ikan yang sering diguna pakai dalam pertandingan-pertandingan sebelum ini. 

Setiap pendaftaran dikenakan bayaran RM100 untuk satu joran dan peserta dibenarkan menggunakan dua joran (maksimum). 

Kaunter pendaftaran dan pengesahan akan mula dibuka di Tasik Metropolitan, Sabtu ini bermula jam 12.00 tengahari. Kaunter dibuka 24 jam.

Berita Harian X