Selasa, 2 Mei 2017 | 4:59pm

Lebih banyak institusi kewangan Islam perlu disenarai

KUALA LUMPUR: Penyenaraian lebih banyak institusi kewangan Islam di Bursa Malaysia diperlukan bagi merangsang industri pengurusan dana dan kekayaan Islam pada masa depan.


TAN Sri Abdul Wahid Omar

Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata langkah itu akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global bagi dana seumpama itu.

Beliau berkata, daripada 672 sekuriti patuh syariah yang disenarai di bursa tempatan, hanya dua adalah sektor kewangan iaitu BIMB Hodings Bhd dan Syarikat Takaful Malaysia Bhd.

"Sektor kewangan mempunyai jumlah sekuriti tersenarai patuh syariah paling rendah. Ia juga meletakkan peratusan sekuriti patuh syariah di bawah sektor berkenaan pada hanya enam peratus," katanya pada Forum Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam Antarabangsa di sini, hari ini.

Abdul Wahid berkata, kekurangan institusi kewangan Islam yang disenarai boleh memberi cabaran besar kepada industri terbabit, terutama syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kerana mereka diharap menawar dividen patuh syariah kepada pelabur Islam di Malaysia.

GLIC berkenaan termasuk PNB, Lembaga Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Berikutan itu, katanya, adalah mustahil menawarkan pulangan kompetitif jika GLIC perlu mengelak daripada melabur dalam sektor kewangan, kerana hanya terdapat enam peratus sekuriti patuh syariah disenarai di Bursa Malaysia.

Beliau juga mencadangkan tiga kemungkinan bagi meningkatkan pertumbuhan industri berkenaan.

Pertama ialah dengan pembentukan kumpulan perbankan universal Islam tersenarai, selain BIMB Holdings, yang boleh diterajui Malaysia Building Society Bhd, Bank Muamalat Malaysia Bhd, Malaysia Industrial Development Finance Bhd atau satu daripada bank Islam milik asing yang lebih besar.

Penyenaraian sebahagian institusi kewangan pembangunan Islam seperti Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat adalah pilihan kedua.

Pendekatan ketiga ialah mewujudkan penyenaraian berasingan 'Islam' atau 'i-saham' dalam kalangan kumpulan perbankan yang mempunyai aktiviti kewangan Islam yang agak besar seperti Maybank, CIMB dan RHB.

"Contohnya, sehingga 25 peratus keuntungan Maybank diperoleh daripada kewangan Islam.

"Oleh kerana Maybank Islamic adalah anak syarikat dan bahagian penting Maybank, kita boleh menetapkan katakan 20 peratus saham Maybank sebagai saham Islam melalui pengaturan pemindahan aset berdasarkan perlindungan," katanya.

Abdul Wahid berkata, berdasarkan permodalan pasaran Maybank sebanyak RM97 bilion, inisiatif itu akan mewujudkan kelas baharu instrumen pelaburan patuh syariah bernilai RM19 bilion.

"Sudah pasti ini akan memerlukan banyak perundingan dengan Suruhanjaya Sekuriti, Bank Negara Malaysia dan Bursa Malaysia.

"Dengan fikiran positif dalam menyelesaikan sesuatu masalah, saya percaya kita boleh menghasilkan penyelesaian yang betul," katanya pada sidang akhbar selepas itu. - BERNAMA

Berita Harian X