Selasa, 2 Mei 2017 | 5:16pm

Bunuh isteri kerana cemburu

SUSPEK warga asing kes bunuh isteri ditahan polis, pagi tadi. - Foto Kandau Sidi

MIRI: Gara-gara cemburu, seorang lelaki warga Indonesia menikam isterinya hingga mati di sebuah ladang sawit di Kuala Baram, malam tadi.

Mangsa hanya dikenali sebagai Ria, 24, mati ditikam menggunakan 'bidik' di dada sebanyak dua kali.

Mayatnya dihantar ke rumah mayat Hospital Miri untuk bedah siasat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, susulan itu polis yang menerima laporan daripada pekerja ladang menahan suami mangsa di ladang yang sama.

"Motif kejadian ialah kerana cemburu dengan sikap isterinya bermain kayu tiga," katanya, hari ini.

Beliau berkata, dalam kejadian lewat tengah malam itu, suspek dikatakan terserempak dengan isterinya bersama seorang lelaki lain warga Indonesia di sebuah rumah lain.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.

 

Berita Harian X