Selasa, 2 Mei 2017 | 6:28pm

Ekonomi Malaysia kekal baik dalam persekitaran mencabar - IMF

KUALA LUMPUR: Malaysia terbukti mencatat prestasi ekonomi yang baik sejak beberapa tahun lalu dan kekal berdaya tahan, walaupun berhadapan persekitaran ekonomi global mencabar, demikian menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF menerusi laporan perundingan tahunan mengenai Malaysia yang dimuktamadkan pada 15 Mac lalu, menyatakan walaupun berhadapan impak persekitaran kelemahan harga komoditi dan kewangan global, ekonomi Malaysia sebaliknya kekal berdaya tahan.

Katanya, ia berikutan kepelbagaian asas pengeluaran dan eksport, memiliki kedudukan imbangan kira-kira kukuh, kadar tukaran asing fleksibel, dasar ekonomi makro bersifat responsif serta pasaran kewangan yang mendalam.

"Malaysia masih menjadi antara ekonomi yang mencatat pertumbuhan paling pesat dalam kalangan rakan negara lain, walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar lebih perlahan.

"Persekitaran ekonomi makro dan kewangan global yang mencabar itu memerlukan penekanan terhadap (pelaksanaan) usaha yang wajar dan pelarasan dasar secara berhati-hati bagi kemajuan masa depan," katanya.

Menurut IMF, paras hutang Persekutuan dan liabiliti luar jangka secara relatifnya tinggi, yang mengehadkan ruang dasar bagi tujuan memberi respon terhadap kejutan.

Katanya, risiko terhadap unjuran itu juga lebih cenderung ke arah penurunan yang dibuat berdasarkan sumber luaran mahupun domestik.

Risiko luaran termasuk kelemahan pertumbuhan struktur dalam ekonomi maju dan sedang pesat membangun serta impak daripada penyepaduan rentas sempadan.

IMF berkata, walaupun ekonomi Malaysia terbukti dapat seiring dengan penyusutan harga minyak global, namun harga komoditi rendah kekal menjadi cabaran untuk mencapai sasaran fiskal jangka pertengahan.

Menurut IMF, kadar pertumbuhan KDNK sebenar juga diunjur meningkat secara sederhana kepada 4.5 peratus bagi tahun ke tahun pada 2017 berbanding 4.2 peratus pada 2016 yang menyaksikan permintaan domestik, terutama perbelanjaan swasta terus kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan.

"Ekonomi Malaysia dijangka terus tumbuh pada 2017, namun ekonomi domestiknya akan diasak tekanan menerusi faktor seperti kelemahan ekonomi maju dan pesat membangun atau impak penyepaduan rentas sempadan di peringkat global," kata IMF.

Menurut laporan itu, biarpun sektor perbankan secara keseluruhannya baik dan risikonya dapat dikekang, pemantauan terhadap faktor kelemahannya perlu dilakukan.

Selain itu, IMF turut menyambut baik komitmen pihak berwajib untuk mengekalkan kadar tukaran sebagai mekanisme kejutan dan menyarankan rizab terus dikumpul ketika wujudnya peluang untuk berbuat demikian serta dimanfaatkan dalam keadaan pasaran yang tidak menentu.

Ia juga menyokong usaha Malaysia bagi meningkatkan penyertaan tenaga kerja wanita, mempertingkat kualiti pendidikan, mengurangkan masalah ketidakpadanan kemahiran serta meningkatkan tahap tadbir urus yang tinggi. - BERNAMA

49 dibaca
Berita Harian X