Rabu, 3 Mei 2017 | 6:00am

Pendakwaan kes WhatsApp perlu jelas


- Gambar hiasan.

Cadangan mengenakan hukuman penjara ke atas pentadbir kumpulan aplikasi WhatsApp seperti dinyatakan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, menarik perhatian ramai, malah hangat dibincangkan netizen. Ramai pengguna WhatsApp beri pelbagai reaksi. Tajuk akhbar 'Admin WhatsApp boleh dipenjara' menjadi viral di hampir di semua rangkaian media sosial tanah air.

Ada membincangkannya secara serius dan ada menjadikannya bahan gurauan. Namun, dalam hal ini, ia bergantung kepada jenis perbincangan pengguna WhatsApp. Ada berpaksikan politik, ada berunsur perniagaan online mahupun berbentuk sosial. Antara reaksi jelas ialah pengguna bimbang jika perkongsian maklumat mereka dilihat akan gugat keselamatan negara. Rasa bimbang terserlah apabila pengguna umum selain tidak mempunyai pengetahuan khusus berhubung undang-undang, tidak tahu apa yang harus atau tidak wajar dikongsi.

Aplikasi WhatsApp mula digunakan di seluruh dunia pada Januari 2009. Pengasasnya, bekas pekerja Yahoo, Jan Koum dan Brian Acton. WhatsApp adalah aplikasi yang dimuat turun ke dalam telefon pintar dan mampu menghantar mesej, gambar, audio dan video secara percuma. Malah, bermula tahun lalu, WhatsApp juga menyediakan kemudahan menelefon secara percuma di seluruh dunia. Sehingga 2 Februari lalu, ia mempunyai 1.2 bilion pengguna bulanan yang aktif, menunjukkan populariti aplikasi itu dalam kalangan mereka yang gemar berkongsi maklumat.

Terima pelbagai reaksi

Sudah tentu Malaysia tidak tertinggal di dalam fenomena ini. Antara reaksi pentadbir ialah kesukaran mengawal selia dan menapis apa yang dikongsi ahli. Apabila kita lihat struktur perkongsian WhatsApp, sesiapa pun boleh diterima sebagai ahli dan pada masa sama boleh sebar sebarang informasi dengan satu klik send sahaja.

Apa yang boleh 'admin' lakukan ialah sekadar menasihati seterusnya mengeluarkan ahli. Malangnya maklumat sudah tersebar dan seterusnya dikongsi ahli kumpulan lain. Persoalannya adakah kesalahan ini perlu dipertanggungjawabkan kepada 'admin'? Ini harus kita fikirkan bersama.

Adakah penalti seumpama ini sesuai untuk dilaksanakan atau tidak? Kita lihat isu WhatsApp ini hanyalah simbol 'penyebaran maklumat secara tidak bertanggungjawab.' Kita harus maklum aplikasi penyebaran maklumat secara berkumpulan ini bukan membabitkan WhatsApp sahaja. Aplikasi Telegram, Facebook lebih terdahulu dalam budaya perkongsian.

Perhalusi cadangan

Isu sama ada cadangan ini bawa kita ke hadapan sebagai status negara maju atau mengundur harus diperhalusi. Kita tidak mahu negara kita cuba menyekat kebebasan bersuara. Ini akan undang persepsi negatif masyarakat dunia. Undang-Undang Pencegahan seperti Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu menggunakan rangkaian untuk menyebarkan berita palsu telah ada, Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah juga ada untuk membendung gejala ini, seterusnya Akta Hasutan 1948 dan juga Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Hanya perlu dimantapkan adalah menyegerakan siasatan supaya yang tertuduh boleh didakwa dengan segera. Ironinya kenapa kelihatan seperti tidak ada penguatkuasaan sedangkan undang undang telah lama ada, sehingga ia menjadi tajuk berita utama di akhbar? Antara sebab ialah gejala, malah kes perbicaraan seterusnya sehingga jatuh hukuman sebegini tidak mendapat perhatian untuk disebarkan kepada masyarakat umum.

Mungkin kegiatan penyebaran fitnah ini kelihatan berleluasa adalah disebabkan tidak ada laporan tindakan diambil disebarkan oleh media massa. Tindakan tegas seperti hukuman penjara ke atas pentadbir seolah menakut-nakutkan sahaja. Cuma, adakah dengan undang-undang yang sedia ada, pentadbir boleh didakwa semudah itu, apatah lagi bukan mereka yang mengeluarkan maklumat palsu mahupun berbaur fitnah? Mereka hanya dijadikan sebagai platform untuk penyebaran maklumat berkenaan.

Ambil kira pelbagai faktor

Adakah faktor ini memadai bagi membolehkan pendakwaan dibuat ke atas mereka? Walaupun undang-undang kita kelihatan mantap dan menyeluruh, adakah ianya sudah mencukupi untuk diambil tindakan, terutama pada zaman teknologi yang sedang pantas ini. Antara cadangan untuk mengatasi polemik ini, pertama persoalan penambahbaikan undang undang yang sedia ada dan pada masa yang sama ianya harus lebih jelas dan mudah untuk didakwa. Sudah tentunya faktor teknologi maklumat perlu diambil kira di dalam proses penambahbaikan ini.

Ini termasuk komposisi aplikasi telefon mudah alih dan juga platform media sosial yang lain. Ini penting untuk mengelak kecelaruan dalam proses pendakwaan. Yang kedua, tindakan dan pendakwaan terhadap kes pemalsuan maklumat wajib disegerakan. Kerajaan harus memudahkan proses berkaitan pendakwaan teknologi maklumat.

Jika tenaga penyiasat tidak mencukupi, terutama dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), kerajaan wajar beri keutamaan dan peruntukan mencukupi bagi membolehkan mereka laksanakan tugasan dengan berkesan. Tiada gunanya kita meuar-uarkan untuk ambil tindakan tegas walhal jentera penguatkuasaan tidak mencukupi.

Yang terakhir, pencegahan harus dilakukan dari peringkat akar umbi lagi, contohnya pendedahan dan pendidikan wajib dimulakan lebih awal, terutama untuk golongan kanak kanak sekolah dan remaja agar mereka tidak ghairah berkongsi maklumat tanpa mengetahui kesahihannya.

Penulis adalah Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

44 dibaca
Berita Harian X