Rabu, 3 Mei 2017 | 12:04pm

Larian Bendera Ulang Tahun UMNO ke-71 meriahkan Alor Setar

ALOR SETAR: Lebih 150 orang ahli UMNO Kedah memeriahkan Larian Bendera sempena Ulang Tahun UMNO ke-71 membabitkan jarak hampir 100 kilometer (KM) sekitar negeri ini, hari ini.

Larian bermula dari Pejabat UMNO Bahagian Kubang Pasu jam 8 pagi tadi dijangka berakhir jam 8 malam ini, di Pejabat UMNO Bahagian Jerai.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata larian di negeri Kedah membabitkan 250 km akan merangkumi laluan di Kubang Pasu, Alor Setar, Kuala Kedah, Jerai, Merbok dan Sungai Petani.

Katanya, ia turut disertai peserta kawasan Parlimen yang tidak dilalui konvoi seperti Langkawi, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Baling, Padang Serai dan Kulim-Bandar Baharu.

"Larian ini berada di Kedah selama tiga hari bermula semalam sehingga esok dan berakhir di sempadan Kedah-Pulau Pinang.

"Penyerahan hari terakhir akan disempurnakan oleh saya kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman," katanya.

Semalam, lebih 100 ahli UMNO Bahagian Kubang Pasu dan Jerlun memeriahkan larian terbabit yang berlangsung di sempadan Perlis-Kedah, Kodiang, di sini.

Larian bermula di pekan Kodiang sekitar jam 4.30 petang itu bermula selepas konvoi larian UMNO Perlis dari Arau, Perlis diketuai oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyerahkan bendera kepada Ahmad Bashah.

TIMBALAN Ketua UMNO Bahagian Pokok Sena, Datuk Ariffin Man (tengah) bersama peserta meneruskan larian dari Pokok Sena ke Alor Setar ketika Larian Jelajah UMNO sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71. - Foto Eizairi Shamsudin
PESERTA meneruskan larian diikuti paluan gendang dan seruling dari Pokok Sena ke Alor Setar ketika Larian Jelajah UMNO sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71. - Foto Eizairi Shamsudin
PESERTA meneruskan larian diikuti paluan gendang dan seruling dari Pokok Sena ke Alor Setar ketika Larian Jelajah UMNO sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke-71. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X