Rabu, 3 Mei 2017 | 12:15pm

Biskut lutut, roti mayat menu istimewa


Antara menu popular seperti roti bakar dan kari ayam kampung disediakan di Dulang Tea House.

KENANGAN lalu mengusik jiwa sebaik saja berpeluang menikmati hidangan minum petang di sebuah kafe yang dibangunkan di bawah gua batu kapur sekitar Tambun.

Bersesuaian persekitarannya yang begitu nostalgia dan unik, Dulang Tea House terletak di dalam gua batu kapur di Tambun, Ipoh, Perak, menampilkan menu sering kita temui ketika zaman kanak-kanak iaitu biskut lutut dan roti mayat! Namanya memang pelik dan seram, tapi dalam kalangan penggemarnya, biskut lutut dan roti mayat yang dimakan sambil dicecah bersama kopi panas, pasti 'meletup'!

Bagi pengunjung atau pengembara yang mengunjungi taman tema keluarga, Lost World of Tambun di Sunway City pasti tidak melepaskan peluang menikmati hidangan minum petang di Dulang Tea House apabila menampilkan menu istimewanya, roti tumbuk.

Roti tumbuk ialah campuran biskut lutut dan roti mayat yang ditumbuk sehingga hancur lalu dicampur sedikit garam bersama gula merah serta kelapa parut.

Wujudkan suasana nostalgia

Bagi menambah selera, roti tumbuk dinikmati bersama kedinginan air beras perang. Air beras perang ialah campuran air beras yang dimasak hingga hangit lalu dicampur gula merah bersama daun pandan secukup rasa. Air beras perang ini digunakan oleh pendulang Cina suatu ketika dahulu untuk menyejukkan badan.

Pekerja dapur atau pelayan restoran ini mengenakan kemeja-T putih dan seluar polos hitam bersama topi mendulang yang pernah digunakan oleh pendulang bijih timah di Lembah Kinta sekitar tahun 1900-an, sekali gus mewujudkan nostalgia, pengusaha lombong bijih timah zaman dahulu lazimnya berehat sambil menikmati minum petang di bawah gua batu kapur.


Selepas bersantai di Lost World of Tambun, pengunjung lazimnya akan menjamu selera di kafe berdekatan Tin Valley.

Roti bakar bersama ayam kampung

Penyedia makanan kafe berkenaan, Shahrulnaim Salim, 20, ketika ditemui yang lengkap berpakaian persis pendulang Cina awal tahun 1900-an berkata, kebanyakan pengunjung adalah tetamu taman tema selepas seharian bersuka ria bersama teman atau keluarga masing-masing.

"Kafe ini sengaja dibangunkan di bawah gua batu kapur Tambun untuk membawa suasana persekitaran sebenar pelombong bijih timah menikmati waktu santai. Menu lain yang popular termasuklah roti bakar bersama kari ayam kampung," katanya.

Suasana selesa di kafe ini sepadan dengan kereta Nissan Teana NISMO Pakej Performance yang dipandu penulis sepanjang berada di Ipoh.

Rekaan NISMO diserlahkan lagi dengan rim aloi NISMO LMX6 bersaiz 18 inci berwarna hitam berkilat dan kemasan krom, serta direndahkan sebanyak 30 milimeter untuk memberikan cengkaman lebih baik, selain kemasan ekzos sports NISMO yang menyempurnakan tarikan estetik bersama sentuhan elegan reka bentuk kenderaan berwajah sporty ini.

Menambah sisi 'bengis' Nissan Teana NISMO turut dilengkapi spoiler bampar hadapan dan belakang serta skirt sisi, selain trunk lid spoiler untuk penampilan lebih sporty.


Rekaan Teana NISMO diserlahkan lagi dengan rim aloi NISMO LMX6 bersaiz 18 inci berwarna hitam berkilat dan kemasan krom.

Info
Dulang Tea House

  • Selain menikmati juadah minuman petang, pengunjung juga berpeluang merasai sendiri pengalaman mendulang di Tin Valley yang terletak berdekatan kafe.
  • Mempunyai ruang pameran Galleria di bahagian tengah kafe. Ia menghimpun koleksi peralatan mendulang bijih timah tradisional tahun 1906 sekitar Lembah Kinta.
  • Dibuka setiap hari kecuali Selasa mulai jam 12 tengah hari hingga 6 petang.
Berita Harian X