Rabu, 3 Mei 2017 | 1:58pm

Pembantu warden tahfiz bebas dengan jaminan


PEMBANTU warden madrasah tahfiz yang direman sejak 23 April lalu bagi membantu siasatan kes pukul seorang pelajar berusia 11 tahun, dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000 hari ini. - Foto Zulakranain Ahmad Tajuddin

KOTA TINGGI: Seorang pembantu warden madrasah tahfiz yang direman sejak 23 April lalu bagi membantu siasatan kes pukul seorang pelajar berusia 11 tahun, dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000 hari ini.

Perintah jaminan itu dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Salawati Djambari, selepas membenarkan permohonan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Tinggi, Asisten Superintendan Mohd Fairos Ithnin mengikut Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah.

Siasatan lanjut terhadap suspek berusia 29 tahun itu dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, suspek berusia 29 tahun yang memakai baju lokap jingga, tiba di mahkamah pada jam 12.17 tengah hari dengan diiringi anggota polis.

Kira-kira jam 12.45 tengah hari, suspek dibawa masuk ke Bilik Pendaftar sebelum diiringi keluar beberapa minit kemudian oleh seorang lelaki dipercayai abangnya.

Sebaik keluar dari bilik berkenaan, suspek dilihat berdoa dan bersujud.

Pembantu warden itu ditahan di rumahnya di FELDA Lok Heng Barat, Kota Tinggi dekat sini jam 4 petang, pada 22 April lalu selepas ibu kepada pelajar madrasah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, membuat laporan polis.

Mangsa yang terpaksa dipotong kaki pada 21 April lalu, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, kira-kira jam 2 petang pada 26 April lalu.

Berikutan kematian mangsa, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata tempoh reman itu dilanjutkan sehingga hari ini bermula Khamis lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

65 dibaca
Berita Harian X