Rabu, 3 Mei 2017 | 3:15pm

PM bangga 2 beradik harum nama negara di Romania

PUTRAJAYA: Pengorbanan Salihin Ahmad, 45, menjual rumah untuk membiayai kos dua anaknya menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania, mendapat perhatian Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri turut berkongsi kebanggaan berikutan pencapaian Afiqah Zahra Salihin, 7, yang berjaya menduduki tempat kelima dunia dalam kategori perempuan bawah tujuh tahun pada pertandingan itu.

"Apa yang dilakukan Salihin untuk dua anaknya adalah hakikat pengorbanan seorang guru (dan bapa) demi melihat anak didik mereka menempa kejayaan.

"Kita berbangga dengan pencapaian Nur Anisah, 17, dan Afiqah Zahra, 7, pada pertandingan antarabangsa di Romania ini. Pengorbanan Salihin dan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke pertandingan terbabit akan kita hargai melalui kementerian berkaitan.

"Kita akan pastikan bakat seumpama ini akan dipupuk dan disokong sebaiknya kerana biarpun individu, ia membawa nama Negaraku Malaysia. Tahniah Salihin dan semua peserta Malaysia di Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017," katanya kepada pemberita di Perdana Putra di sini, hari ini.


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak beramah mesra bersama keluarga Salihin Ahmad, 45, dan anaknya Nur Anisah, 17, serta Afiqah Zahra, 7, yang menyertai Pertandingan Catur Individu Sekolah Dunia 2017 di Romania baru-baru ini, di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Najib turut meluangkan masa beberapa minit beramah mesra dengan Nur Anisah dan Afiqah Zahra yang hadir bersama ibu bapa serta adik beradik lain untuk menemui Perdana Menteri.

Kisah Salihin, yang juga guru Bahasa Melayu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, Klang, mencuri tumpuan baru-baru ini apabila akhbar melaporkan beliau terpaksa menjual rumah keduanya di Segamat, Johor pada harga RM65,000 untuk membawa Afiqah Zahra dan Nur Anisah ke pertandingan berkenaan kerana tiada penaja.

Selain dua beradik itu, 14 lagi peserta turut menggalas cabaran Malaysia dalam kejohanan yang menghimpunkan lebih 500 murid dan pelajar sekolah dari 41 negara.

dibaca
Berita Harian X