Rabu, 3 Mei 2017 | 5:18pm

3 lelaki kes rasuah PLKS dibebaskan

DUA daripada tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan yang direman pihak SPRM bagi membantu siasatan rasuah membabitkan urusan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Majistret. - Foto Effendy Rashid
DUA daripada tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan yang direman pihak SPRM bagi membantu siasatan rasuah membabitkan urusan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dibebaskan dengan jaminan di Mahkamah Majistret. - Foto Effendy Rashid

IPOH: Tiga lelaki, termasuk seorang warga Pakistan yang direman bagi membantu siasatan rasuah membabitkan urusan memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dibebaskan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini. 

Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab memerintahkan warga Pakistan itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan dua penjamin, manakala dua lelaki tempatan masing-masing diberi jaminan RM9,000 dan RM4,000 juga dengan setiap seorang dua penjamin. 

Ketiga-ketiga lelaki terbabit sebelum ini direman selama enam hari mulai 28 April lalu bagi membantu siasatan kes berkenaan. 

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), lelaki warga Pakistan berusia 46 tahun ditahan di sekitar Tasek, di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari 27 April lalu.

Sementara itu, seorang rakyat tempatan berusia 57 ditahan pada jam 8.10 malam di sebuah restoran di Meru Raya dan seorang lagi, yang berusia 49 tahun ditahan di sekitar Batu Gajah pada jam 12.30 tengah hari, tarikh sama. 

Sumber SPRM memberitahu, ketiga-tiga lelaki berkenaan bertindak sebagai ejen dan orang tengah dengan menawarkan wang rasuah beberapa kali kepada kakitangan MyEG Services Bhd (MyEG) supaya proses penerimaan PLKS pekerja asing boleh dilakukan tanpa mengikut prosedur ditetapkan. 

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009.

Berita Harian X