Sabtu, 24 Jun 2017 - 1:04AM
Waktu Solat Kuala Lumpur:

JCorp pelabur baharu ADIF

Oleh Shahrizan Salian


KUALA LUMPUR: Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF), dana modal teroka korporat terbesar Malaysia, menerima Johor Corporation (JCorp) sebagai pelabur baharu bagi terus memacu industri digital tempatan.

ADIF, kerjasama antara Axiata Group Bhd (Axiata) dan Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP), ditubuhkan bagi menyokong matlamat kerajaan membina ekosistem digital menyeluruh untuk menampung pertumbuhan ekonomi digital.

Dana itu membantu membina keupayaan syarikat digital tempatan, khususnya Bumiputera untuk menjadi peserta serantau dan antarabangsa yang berjaya.

Pada majlis memeterai perjanjian di sini, hari ini, JCorp mengumumkan pelaburan RM10 juta dalam ADIF.

Ia sebagai tambahan kepada RM50 juta dan RM20 juta yang masing-masing disuntik Axiata dan MAVCAP, manakala bakinya dijana daripada pelabur prinsipal lain bagi mencapai sasaran saiz dana RM100 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group, Tan Sri Jamaludin Ibrahim, berkata komitmen penyertaan JCorp sebagai rakan di dalam ADIF adalah simbolik sokongan dan kepercayaan terhadap dana itu.

Katanya, sejajar matlamat menjadi Juara Digital Generasi Baharu, Axiata berada dalam kedudukan kukuh untuk bekerjasama dengan syarikat digital inovatif dan berpotensi tinggi bagi membantu mereka menjadi syarikat menguntungkan dan mapan.

Selain itu, beliau berkata, sejajar dengan sasaran 'Maju Asia', Axiata memulakan dana berkenaan sebagai sebahagian daripada tanggungjawab korporat syarikat.

"Menjelang 2020, Axiata berharap dapat membangun dan membiayai sejumlah perniagaan perkhidmatan digital Bumiputera dengan sasaran akhir membina empat atau lima juara serantau.

"Melalui kejayaan awal ADIF, Axiata kini menggunakan model dana di Kemboja melalui syarikat operasi kami, Smart Axiata," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, syarikat akan memperluaskan keupayaannya melalui penyertaannya di dalam ADIF dan pada masa sama mewujudkan suasana kondusif kepada JCorp.

"Sebagai konglomerat dengan kepentingan dalam sektor utama ekonomi Malaysia, kami mendapat peluang untuk mengintegrasikan sebahagian penyelesaian disediakan syarikat permulaan ADIF ke dalam pelbagai aspek berkaitan perniagaan, sekali gus membentuk manfaat bersama," katanya.

INFO

Dana Inovasi Digital Axiata (ADIF)

* Ditubuhkan pada akhir 2014

* Bermatlamat membantu syarikat permulaan digital yang sudah menjana pendapatan untuk terus berkembang dengan menyediakan dana, kepakaran serta akses pasaran

*RM30 juta komitmen pelaburan ADIF setakat ini

*13 syarikat sudah menerima pelaburan ADIF


Trending

    Disyorkan