Khamis, 8 Januari 2015 | 4:46pm

Jarak tembok tebatan banjir Sungai Kelantan di Kota Bharu perlu ditambah - JPS

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan meneliti kesan banjir di Kelantan untuk dijadikan asas berhubung cadangan menambah jarak tebatan banjir di Sungai Kelantan.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ahmad Husaini Sulaiman berkata penelitian itu akan difokuskan kepada projek tebatan di Kota Bharu sebelum ini selain beberapa lokasi lain yang terjejas teruk akibat banjir.

"Projek tebatan banjir fasa pertama yang menelan kos RM220 juta telah disiapkan sepanjang 3.5 kilometer di tebing Sungai Kelantan di Kota Bharu sebelum ini dan ia membantu melambatkan banjir di kawasan terbabit.

"Kita lihat perlu menambah satu kilometer lagi di sebelah hilir sungai dan melihat sedikit di sebelah hulu," katanya kepada pemberita selepas mengikuti taklimat mengenai bencana banjir di Wisma JPS Negeri di sini, Khamis.

Selain kawasan Kota Bharu, penelitian juga akan dilakukan di tempat lain yang dinaiki air untuk merangka satu konsep bagi mengurangkan banjir.

"Dalam kajian asal sebelum ini, penelitian banyak dibuat di Kota Bharu. Kini kita juga perlu melihat kawasan lain seperti Kuala Krai dan Tumpat yang lebih serius menerima kesan banjir lepas," katanya.

Ahmad Husaini berkata data yang dikumpulkan akan digunakan untuk merumuskan satu cadangan komprehensif menangani banjir melalui satu permohonan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 nanti.

Jabatan itu juga akan memberi cadangan lain seperti pembinaan empangan di Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir.

Ditanya kerosakan yang ditanggung jabatan itu di negeri-negeri terbabit banjir, beliau berkata beberapa fasiliti dan struktur turut terjejas apabila beberapa pejabat daerah dan negeri dinaiki banjir.

"Kita sedang meneliti kerosakan yang dialami bagi melihat bagaimana ia boleh diselesaikan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X