Jumaat, 5 Mei 2017 | 3:37pm

Iklim pelaburan di Malaysia kekal baik - Mustapa


MUSTAPA berucap pada Program Perhimpunan Bulanan MITI dan agensi di Resource Centre, Malaysia Automotive Institute di Rawang, hari ini. - Foto Fariz Iswadi Ismail

RAWANG: Iklim pelaburan di Malaysia kekal baik untuk pelabur dari seluruh dunia, termasuk China, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, seperti yang diketahui, kerajaan China melaksanakan kawalan pengaliran keluar mata wang bagi memastikan ekonomi negara itu lebih stabil.

"Kita mungkin ada kaitan dengan langkah itu, kita kurang pasti, itu Kementerian Kewangan lebih faham," katanya kepada media pada Program Perhimpunan Bulanan MITI dan agensi di Resource Centre, Malaysia Automotive Institute di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media semalam yang menyatakan kerajaan China menghalang pelaburan syarikatnya dalam projek pembangunan Bandar Malaysia.

Mustapa berkata, kawalan ke atas pengaliran keluar mata wang itu sudah pasti sedikit sebanyak memberi kesan kepada pelaburan luar negara itu.

"Namun, kita yakin China akan terus menjadi kuasa besar. Seperti kita sedia maklum, syarikat China telah membeli syarikat-syarikat di Eropah, Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand termasuk di Malaysia," katanya.

Beliau juga yakin Malaysia akan terus mendapat pelaburan daripada syarikat-syarikat China.

"Kawalan itu diumumkan beberapa bulan lalu, dan laporannya baru sahaja diumumkan...oleh itu, kita akan pantau.

"Kesan sederhana panjang, kita rasa ini tidak akan memberi kesan kepada iklim pelaburan di Malaysia," kata Mustapa.

Mengenai kebimbangan sesetengah pihak berhubung Malaysia di ambil alih syarikat China, beliau berkata tanggapan itu tidak tepat kerana pelaburan syarikat tempatan di China jauh lebih besar berbanding pelaburan mereka di negara ini.

Menurut beliau, data kementerian menunjukkan nilai pelaburan syarikat Malaysia di China sebanyak RM10 bilion berbanding nilai pelaburan syarikat syarikat China di Malaysia hanya RM8 bilion. - BERNAMA

18 dibaca
Berita Harian X