Jumaat, 5 Mei 2017 | 5:13pm

Landasan LTSAS dibuka semula


KERJA-KERJA membaiki mendapan tanah di landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh. - Foto Abdullah Yusof

IPOH: Landasan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) yang terpaksa ditutup sejak jam 6.40 petang semalam, dibuka semula dengan pendaratan membabitkan penerbangan pesawat Tigerair dari Singapura pada jam 5 petang tadi.

Pelepasan pertama pesawat pula dijangka pada jam 5.35 petang, juga membabitkan pesawat dari syarikat yang sama.

Landasan itu terpaksa ditutup hampir 24 jam berikutan berlaku kesan mendapan ketika pemeriksaan rutin dilakukan pasukan teknikal ke atas landasan berkenaan, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, punca sebenar masalah landasan disebabkan hakisan tanah yang terjadi akibat air hujan yang bertakung di bawah tanah selepas hujan lebat.

"Pemeriksaan rutin dilakukan oleh pegawai sebanyak tiga kali sehari dan ketika pemeriksaan dilakukan pada jam 6 petang semalam, didapati satu kawasan seluas 12 sentimeter dengan kedalaman satu meter dikesan di landasan berkenaan.

"Kawasan itu dibaiki dengan digali dan ditambah tanah dan segala kerja baik pulih selesai pada jam 12.30 tengah malam tadi. Landasan yang berlaku hakisan sudah sempurna dibaiki dan selamat digunakan," katanya.


PENUMPANG yang terkandas selepas penutupan sementara operasi Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh berikutan berlaku mendapan tanah di landasan. - Foto Abdullah Yusof

Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan ke lokasi hakisan di lapangan terbang berkenaan di sini, sebentar tadi. Yang turut hadir, Pengurus Lapangan Terbang Malaysia Airport Sdn Berhad LTSAS, Mohd Ali Osman.

Dr Mah berkata, masalah itu menyebabkan 12 penerbangan pergi balik dari sini tergendala hari ini dan bilangan penumpang yang terjejas pula seramai 846 orang.

27 dibaca
Berita Harian X