Jumaat, 5 Mei 2017 | 7:28pm

Warga emas maut dipercayai dibunuh


MANGSA yang maut dipercayai ditetak di hadapan sebuah kedai makan.

LENGGONG: Seorang lelaki ditemui mati dengan pergelangan tangan kirinya putus selain kesan tetakan pada telinga kiri dipercayai dibunuh di hadapan sebuah kedai makan di Kota Tampan di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 8.20 pagi itu, mangsa K Lathmana, 67, dikatakan ditetak oleh seorang lelaki menaiki kereta PROTON Iswara menggunakan parang dipercayai bermotifkan dendam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Superintendan Suhaimi Ishak berkata, berikutan kejadian itu polis menahan dua suspek berusia 39 dan 45 tahun di kawasan Taman Seri Indah, Ayer Tawar, Manjung, jam 12.35 tengah hari bagi membantu siasatan.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati punca kejadian disebabkan dendam suspek terhadap keluarga mangsa.

"Hasil ujian air kencing terhadap suspek berusia 39 tahun mendapati positif dadah dan polis turut merampas kereta PROTON Iswara dipercayai digunakan kedua-dua suspek dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai ada hubungan tali persaudaraan dan siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Berita Harian X