Jumaat, 5 Mei 2017 | 7:40pm

Polis siasat kes bunyi hon depan surau

JOHOR BAHRU: Polis menyiasat kes kejadian sekumpulan lelaki memukul seorang pemandu lelaki yang dikatakan membunyikan hon ketika jemaah sedang solat Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya sudah menerima laporan daripada pengadu berusia 28 tahun dan bertugas sebagai jurutera yang turut cedera di kepala dan badan, selain pihak Ahli Jawatankuasa Surau Austin Perdana.

Sehubungan itu beliau meminta masyarakat memberi kerjasama kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan terperinci kes itu dan meminta semua pihak tidak mengambil tindakan sendiri, selain tidak memperbesarkan isu sehingga boleh menimbulkan suasana tidak harmoni.

"Kedua-dua pihak bersetuju untuk menyerahkan kes ini kepada pihak polis dan berpuas hati dengan tindakan yang diambil, selain berharap kes ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Setakat ini, pengadu memberi jaminan tidak akan melibatkan anasir gengsterisme dalam isu ini dan menafikan sudah menjadikan isu ini viral di FB (Facebook)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kamarul Zaman berkata, berdasarkan laporan, lelaki itu memaklumkan ketika berada di hadapan surau terbabit, dia mendapati sebuah kereta menghalang laluannya menyebabkannya membunyikan hon, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang.

Katanya, selepas itu seorang lelaki keluar dari surau itu dan mengalihkan kenderaan dan pengadu membunyikan hon semula sebelum tiba-tiba sekumpulan lelaki datang dan terus memukulnya dengan tangan dan topi keledar sehingga menyebabkan keretanya turut rosak.

Berita Harian X