Jumaat, 5 Mei 2017 | 8:35pm

Reaksi pembatalan SSA Bandar Malaysia hanya sementara - Penganalisis

REPLIKA model Bandar Malaysia. - Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Reaksi spontan pembatalan perjanjian jualan saham (SSA) Bandar Malaysia hanyalah sementara, dan sentimen pasaran akan kembali stabil dan pulih tidak lama lagi, kata seorang penganalisis.

Naib Presiden yang juga Ketua Penyelidik Runcit Affin Hwang Investment Bank, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, pembatalan SSA Bandar Malaysia Sdn Bhd tidak akan menjejaskan pelan jangka panjang kerajaan untuk rasionalisasi 1Malaysia Development (1MDB) dan pembangunan Bandar Malaysia.

"Kami yakin kerajaan akan mendapat syarikat pengganti sebagai pemaju utama Bandar Malaysia.

"Pembatalan perjanjian Bandar Malaysia itu hanya kes terpencil dan tidak menjejaskan pelaburan langsung asing secara menyeluruh memandangkan hubungan dagang dua hala Malaysia dan China tetap kukuh," kata Nazri Khan.

Pada Rabu, TRX City Sdn Bhd mengumumkan SSA dengan Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd dan China Railway Engineering Corporation (M) Sdn Bhd membabitkan jualan 60 peratus modal terbitan dan modal berbayar Bandar Malaysia Sdn Bhd luput disebabkan kegagalan pihak-pihak pembeli memenuhi obligasi pembayaran.

Bandar Malaysia yang akan dimajukan secara usaha sama awam swasta adalah projek pembangunan bandar dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM150 bilion.

Projek jangka panjang dijangkakan siap dalam tempoh 30 tahun. - BERNAMA

Berita Harian X