Sabtu, 6 Mei 2017 | 11:09am

Najib cadang pusat keusahawanan muda di Sabah


NAJIB memberi aksi bebas selepas merasmikan GREAT 2017, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak, sebentar tadi mencadangkan pembinaan sebuah pusat keusahawanan untuk golongan muda di Sabah menjalankan perniagaan.

Perdana Menteri berkata, pusat keusahawanan itu membolehkan peniaga dan usahawan dalam kalangan golongan muda di negeri ini berniaga apa juga produk di bawah satu bumbung, sama seperti Borneo 744 di Kuching, Sarawak.

"Saya mencadangkan ia diwujudkan di Kota Kinabalu sebagai tempat untuk orang muda menjalankan perniagaan di satu lokasi khusus," katanya ketika merasmikan Program Gabungan Rakan Entrepreneur Aspirasi Terhebat (GREAT) 2017, di sini, sebentar tadi.

Yang turut hadir ialah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Bagi melahirkan ramai lagi usahawan muda di Sabah, Perdana Menteri berkata, satu badan penyelarasan dengan universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta badan korporat akan diwujudkan untuk menjalankan program keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

"Selain itu, cawangan Pusat Inovasi dan Kreativiti Malaysia (MaGIC) akan diwujudkan di Sabah untuk menggalakkan pembangunan usahawan, bukan saja di bandar utama, malah di seluruh negeri ini," katanya.


NAJIB melawat pameran selepas merasmikan Majlis Perasmian GREAT 2017, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Izhari Ariffin


NAJIB mewarnakan logo ketika merasmikan GREAT 2017, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto Izhari Ariffin

Perdana Menteri berkata, Sabah memiliki banyak potensi dalam pelbagai bidang untuk dimajukan dan peluang itu seharusnya direbut oleh golongan muda di negeri ini.

Untuk tujuan itu, katanya, kerajaan mempunyai 65 kementerian dan agensi yang berperanan membantu pengusaha atas apa juga bidang, termasuk mengembangkannya ke pasaran luar.

"Kerajaan hari ini prihatin terhadap golongan muda dengan menyediakan pelbagai inisiatif untuk mereka, tidak seperti pihak tertentu yang hanya tahu kritik tetapi tidak membentangkan apa-apa untuk orang muda.

"Kita mahu golongan muda di negara ini berasa masa depan negara adalah milik mereka," katanya.

Mengenai GREAT 2017, Najib berkata, program disertai kira-kira 5,000 usahawan dan pelabur itu adalah peluang terbaik untuk generasi muda Sabah menimba ilmu, khidmat nasihat serta peluang sokongan dan bantuan daripada pelbagai agensi.

17 dibaca
Berita Harian X