Khamis, 8 Januari 2015 | 6:35pm

Bursa Malaysia catat kenaikan pertama 2015

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup tinggi bagi kali pertama tahun ini selepas penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 18.88 mata atau 1.10 peratus kepada 1,728.06, hari ini.

Saham Tenaga Nasional menjadi penyumbang utama terhadap kenaikan petunjuk indeks utama itu selepas mencatat keuntungan 38 sen kepada RM14.20, membabitkan 10.53 juta saham diniagakan.

Penyumbang lain termasuk KL Kepong menokok RM1.00 kepada RM22.80 dan MISC menambah 23 sen kepada RM7.40 manakala Maybank dan IHH Healthcare masing-masing naik sembilan sen kepada RM8.70 dan RM4.77.

Seorang peniaga ekuiti menyifatkan kalangan penggiat saham mengalu-alukan petunjuk tempatan selepas berminggu-minggu lamanya lesu akibat penurunan harga minyak mentah.

Perkembangan itu turut dikaitkan dengan data eksport Malaysia bagi November 2014 yang dikeluarkan semalam yang menyaksikan lebihan dagangan negara mencecah paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun, sekali gus menarik minat pembeli.

"Para pembeli mula membanjiri pasaran yang pulih.

"Ekuiti tempatan hari ini sama ada pulih daripada aliran penurunan sebelum ini atau pelabur enggan ketinggalan membuat belian bernilai di Bursa," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan, harga minyak mentah belum mencecah paras terendah atau menunjukkan sebarang tanda-tanda sebaliknya. Ini, katanya, boleh menyaksikan bursa ekuiti global berkemungkinan berdepan semula tekanan apabila harga minyak terus merudum.

Di pasaran tempatan, sentimen positif ketara apabila kaunter untung mengatasi rugi iaitu 554 berbanding 241 dengan 268 kaunter tidak berubah, 675 kaunter tidak diniagakan manakala 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 1.60 bilion saham bernilai RM1.84 bilion berbanding 1.61 bilion unit bernilai RM2.06 bilion, pada Rabu.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 119.01 mata kepada 11,853.29, Indeks FBMT100 naik 114.48 mata kepada 11,590.10 manakala Indeks FBM Emas Syariah menokok 139.69 mata kepada 12,379.58. FBM 70 meningkat 79.53 mata kepada 12,820.19 manakala FBM ACE menambah 142.81 mata to 5,844.01.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 117.69 mata kepada 15,199.37, Indeks Perusahaan menokok 41.71 mata kepada 3,152.60 manakala Indeks Perladangan melonjak 131.22 mata kepada 7,834.87. Bagi saham aktif pula, Minetech tidak berubah pada 11 sen, IFCA MSC untung 11 sen kepada 82.5 sen, HSI-CJ naik 4.5 sen kepada 85.5 sen, manakala Iris Corp dan Hubline masing-masing susut setengah kepada 31 sen dan empat sen.

Jumlah dagangan pasaran utama merosot kepada 1.05 bilion saham bernilai RM1.64 bilion berbanding 1.07 bilion saham bernilai RM1.88 bilion, semalam.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan bertambah kepada 376.30 juta saham bernilai RM121.23 juta berbanding 271.95 juta saham bernilai RM54.14 juta, sebelum ini. Waran merosot kepada 170.00 juta unit bernilai RM71.22 juta daripada 260.92 juta unit bernilai RM99.57 juta pada Rabu. Barangan pengguna menguasai 61.02 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan (278.02 juta), pembinaan (38.44 juta), dagangan dan perkhidmatan (420.18 juta), teknologi (63.30 juta), infrastruktur (18.34 juta), SPAC (16.72 juta), kewangan (52.90 juta), hotel (4.79 juta), hartanah (84.00 juta), perladangan (11.07 juta), perlombongan (2,100), REIT (6.46 juta) dan tertutup/dana (8,000). - BERNAMA

Berita Harian X