Sabtu, 6 Mei 2017 | 11:38pm

Ghaddar wira TRW lebur rekod kebal Pahang

PEMAIN Kelantan, Mohamad Ghaddar menjaringkan gol ketika menentang Pahang dalam saingan Liga Super 2017 di Stadium Darul Makmur. - Foto Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Rekod kebal skuad Pahang di laman sendiri lebur apabila tewas 2-3 kepada Kelantan di Stadium Darul Makmur sebentar tadi.

Biarpun tuan rumah berusaha untuk menyekat kegarangan lawan mereka terpaksa akur tewas kali pertama di tempat sendiri dalam saingan Liga Super musim ini.

Pada perlawanan itu, seawal minit kedua, tuan rumah memiliki peluang untuk menjaringkan gol pendahuluan apabila Matthew Davies yang cuba melorongkan kepada Matheus Alves tetapi berjaya dipintas pemain pertahanan lawan, Norhafiz Zamani Misbah.

Dua minit berselang, The Red Worriors (TRW) turut berpeluang untuk membolosi gawang lawan tetapi penyerang berbisa, Mohammad Ghaddar berada pada kedudukan ofsaid.

Namun, peluang terbaik Pahang hadir pada minit ke-12 menerusi Wan Zaharulnizam Wan Zakaria tetapi bola sepakannya sekadar melepasi palang selepas menerima hantaran daripada Mohamadou Sumareh.

Pada minit ke-17, Kelantan mengejutkan pemain tuan rumah apabila Alessandro Padovani Celin yang tidak dikawal mudah untuk menjaringkan gol pendahuluan sekali gus menewaskan penjaga gol Pahang, Wan Azraei Wan Teh.

Biarpun berusaha untuk menyamakan kedudukan, skyad Tok Gajah terpaksa berpus hati ketinggalan 0-1 pada separuh masa pertama.

Namun, skuad kendalian Dollah Salleh kembali mengatur gerakan tersusun dan usaha itu berjaya menghasilkan gol menerusi gerakan solo Alves untuk menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohamad Ramdhan Ab Gamud pada minit ke-69.

Belum sempat meraikan jaringan, penyerang berbisa TRW, Mohammad Ghaddar kembali meletakkan Kelantan 2-1 pada minit ke-72.

Pada minit ke-77, Alves yang juga pemain berasal dari Brazil menjaringkan gol kedua buat Pahang sebelum Ghaddar menjaringkan gol ketiga selang seminit untuk Kelantan mendahului 3-2.

Kemenangan itu sudah pasti melegakan Kelantan manakala Pahang harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal mengutip tiga mata di laman sendiri.

Berita Harian X