Ahad, 7 Mei 2017 | 12:04pm

Karnival Suka Belajar-UTM pupuk asas kukuh pelajar


NAZATUL Shima Mohamad (dua dari kiri) diiringi Marlina Ali (kiri) dan Prof Madya Dr Azlina Mohd Kosnin (kanan) menyempurnakan majlis perasmian Karnival Suka Belajar-UTM di Dewan Kampung Melayu Majidi, Johor Bahru. - Foto Nurul Amanina Suhaini

JOHOR BAHRU: Karnival Suka Belajar-Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menjadi pemangkin bagi memupuk asas kukuh untuk kanak-kanak belajar, selain membina kemampuan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat.

Timbalan Dekan Akademik dan Pembangunan Mahasiswa UTM, Prof Madya Dr Azlina Mohd Kosnin, berkata inisiatif seumpama ini bertujuan memperkasa kemahiran berfikir, menggalakkan perkongsian pengetahuan, selain pembabitan ibu bapa dan komuniti yang dilihat penting bagi menentukan anak terus menjadi aset kepada negara.

Katanya, selain dapat mempromosikan minat belajar bermula di peringkat persekolahan, ia secara tidak langsung menyumbang kepada impak kemenjadian pelajar dalam konteks UTM-New Academia Learning Innovation.

"Sedia maklum bahawa Kementerian Pendidikan menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 sudah mula melaksanakan pelbagai strategi pengukuhan bagi subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang itu untuk kepentingan negara.

"Begitu juga dengan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) yang kini adalah elemen penting pendidikan dalam melahirkan individu boleh berfikir secara kritis dan inovatif, berkemahiran bagi menyelesaikan masalah, selain mengadaptasi diri dengan realiti kehidupan yang mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Karnival Kelab Suka Belajar - Fakulti Pendidikan UTM yang disempurnakan Timbalan Setiausaha MBJB, Nazatul Shima Mohamad di Dewan Kampung Melayu Majidi di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Karnival Kelab Suka Belajar, Marlina Ali.

Karnival anjuran Fakulti Pendidikan UTM dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Perpustakaan Sultan Ismail itu menghimpunkan lebih 200 pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar kampung berkenaan.

Dalam pada itu, Azlina berkata, aktiviti pembelajaran yang dipenuhi dengan pengisian proses pembelajaran menggunakan teknologi terkini secara interaktif, aktif dan kolaboratif dapat membentuk keseronokan belajar, sekali gus mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif.

Katanya, inisiatif itu diharap dapat mengintegrasikan kecerdasan kognitif dan pengetahuan asas STEM dalam rangkaian pembelajaran pelajar.

"Ia selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia untuk melahirkan pelajar dengan kepelbagaian intelek, selain memenuhi hala tuju pembelajaran abad ke-21 untuk menjadikan pembelajaran relevan dengan bidang kerjaya dan realiti kehidupan," katanya.

Berita Harian X