Ahad, 7 Mei 2017 | 1:05pm

JKDM rampas mercun, bunga api bernilai RM129,680

MOHD Nasir Yusoff, (dua dari kiri) bersama pegawainya memeriksa sebahagian mercun, bunga api dan rokok bernilai kira-kira RM300,000.00 selepas mengadakan sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang. - Foto Faris Zainuldin
MOHD Nasir Yusoff, (dua dari kiri) bersama pegawainya memeriksa sebahagian mercun, bunga api dan rokok bernilai kira-kira RM300,000.00 selepas mengadakan sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Rantau Panjang. - Foto Faris Zainuldin

RANTAU PANJANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas mercun dan bunga api bernilai RM129,680 di Wakaf Bata, Machang, Khamis lalu, yang dipercayai diseludup dari negara jiran.

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Yusoff, berkata dalam operasi terbabit, pasukan dari Cawangan Penguatkuasaan Bukit Bunga merampas sebanyak 174 kotak mercun dan bunga api seberat 4,078 kilogram.

"Sebuah lori yang membawa muatan kotak mercun dan bunga api itu ditahan sekitar jam 3.50 pagi, dipercayai menghala ke Kuala Lumpur.

"Kami juga menahan seorang pemandu lori berusia 31 tahun dan direman selama tujuh hari untuk disoal siasat," katanya ketika di sidang media di Pejabat Kastam, di sini, hari ini.

Dalam serbuan berasingan pada jam 6 pagi Khamis lalu, Mohd Nasir berkata, pihaknya turut merampas 1,150 karton rokok seludup seberat 195.50kg bernilai RM158,470.

Katanya, rampasan berkenaan dibuat dalam sekatan jalan raya di Kampung Pachakan, Besut, Terengganu. Kastam turut menahan dua lelaki, masing-masing warga Thailand dan Myanmar.

"Mereka dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan. Dua kenderaan jenis Proton Preve dan Alza yang dipandu dua warga asing itu turut dirampas.

"Siasatan mendapati rokok ini diseludup dari Thailand. Kedua-dua kes akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X