Isnin, 8 Mei 2017 | 2:40pm

Deejay viral tak mengaku mabuk


DJ kelab malam, Ooi Kok Wei, 31, yang merakam dan menyebarkan klip video polis trafik ketika dia ditahan dalam satu sekatan jalan raya Jumaat lalu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol di Mahkamah Trafik, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Salhani Ibrahim

KUALA LUMPUR: Seorang deejay kelab malam yang viral di media sosial selepas merakamkan videonya memberikan komen terhadap anggota polis trafik, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Trafik atas tuduhan memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ooi Kok Wei, 31, yang juga seorang penari sambilan, memohon dibicarakan terhadap tuduhan itu yang didakwa dilakukan di Jalan Sungai Besi di sini, pada jam 3.45 pagi, Jumaat lalu.

Kok Wei didakwa memandu kereta jenis BMW di bawah pengaruh alkohol iaitu 84 miligram (mg) alkohol per 100 mililiter (ml) darah, yang melebihi had dibenarkan sebanyak 80 mg.

Dia didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman maksimum denda RM6,000 dan penjara 12 bulan serta lesen memandu percubaan dibatalkan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Inspektor Hashimah Hashim menawarkan jaminan RM4,000 terhadap tertuduh, bagaimanapun peguam Mohamed Nizam Mohamed Fazil memohon supaya mahkamah mengenakan jumlah jaminan yang munasabah.

Majistret Maizatul Munirah Abd Rahman kemudian membenarkan Kok Wei dijamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 15 Jun ini.

Berita Harian X