Isnin, 8 Mei 2017 | 3:00pm

Projek pangsapuri tak babit Taman Rimba Kiara


Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan replika cek kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di majlis pelancaran penyampaian bantuan kepada Masjid dan Surau di Wilayah Persekutuan sempena Ramadhan 1438H/2017M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan menegaskan pihaknya tidak akan mengambil kawasan rekreasi bersebelahan Taman Rimba Kiara, dekat Taman Tun Dr Ismail (TTDI) bagi cadangan pembinaan sembilan blok pangsapuri di sana.

Menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata projek berkenaan tidak mengambil atau membabitkan kawasan rekreasi itu memandangkan ia adalah taman awam yang perlu dikekalkan untuk kegunaan orang ramai melakukan pelbagai kegiatan.

Tambah beliau, isu itu sengaja dimanipulasi sesetengah pihak terutama pihak pembangkang, untuk menghasut penduduk setempat supaya membantah usaha kerajaan membangunkan kawasan berkenaan.

"Penduduk perlu faham bahawa kawasan yang didiami mereka ini dahulunya adalah kawasan ladang dan penduduk asalnya terdiri daripada pekerja ladang yang masih lagi menduduki rumah panjang sesudah hampir 30 tahun menunggu rumah kekal," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Pelancaran Penyampaian Bantuan Kepada Masjid dan Surau di Wilayah Persekutuan Sempena Ramadan 1438H.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyerahkan replika cek kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di majlis pelancaran penyampaian bantuan kepada Masjid dan Surau di Wilayah Persekutuan sempena Ramadhan 1438H/2017M di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) , Datuk Othman Mustapha.

Kelmarin, Persatuan Penduduk TTDI mengadakan perjumpaan dan merancang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung cadangan pembangunan yang didakwa akan membabitkan sebahagian taman rimba berkenaan.

Mereka turut mendakwa pembangunan yang dicadangkan di kawasan rekreasi berkenaan tidak hanya membabitkan pembinaan kondominium, sebaliknya ada maklumat mengatakan sambungan lebuh raya juga akan dibina di kawasan itu.

Tengku Adnan berkata, kawasan tanah yang mahu dibangunkan itu disediakan khusus oleh kerajaan bagi membina tempat tinggal pekerja ladang dan ia tidak perlu dipertikaikan penduduk sekarang sedangkan penduduk asal masih tinggal dalam keadaan yang kurang selesa.

Jelas beliau lagi, kerajaan akan memberi rumah secara percuma kepada penduduk ladang berkenaan manakala selebihnya dijual kepada pihak luar.

"Projek ini tetap akan dilaksanakan dalam jangka masa terdekat kerana ia sudah pun mendapat kelulusan semua pihak dan pada masa sama, ia tidak menjejaskan ekosistem zon hijau di kawasan berkenaan," katanya.

Berita Harian X