Isnin, 8 Mei 2017 | 7:15pm

Indonesia bakal haramkan Hizb ut-Tahrir

GAMBAR fail yang diambil pada 5 Februari 2017 menunjukkan penunjuk perasaan dari Hizb ut-Tahrir Indonesia mengadakan demonstrasi menyokong ulama Islam di Tugu Negara di Jakarta.- Foto AFP
GAMBAR fail yang diambil pada 5 Februari 2017 menunjukkan penunjuk perasaan dari Hizb ut-Tahrir Indonesia mengadakan demonstrasi menyokong ulama Islam di Tugu Negara di Jakarta.- Foto AFP

JAKARTA: Indonesia akan membubarkan cabang tempatan kumpulan radikal Islam, Hizb ut-Tahrir, berikutan kebimbangan semakin memuncak mengenai puak konservatif di negara paling ramai umat Islam di dunia itu.

Hizb ut-Tahrir, yang menggesa undang-undang Islam ditegakkan dan mahu menyatukan semua umat Islam di bawah pemerintahan Khalifah, beroperasi selama beberapa dekad di Indonesia dan mempunyai ramai pengikut.

Walaupun kebanyakan rakyat negara itu mengamalkan Islam secara sederhana, kebimbangan meningkat mengenai pengaruh radikal, terutama selepas bantahan besar-besaran tahun lalu terhadap gabenor Jakarta beragama Kristian yang diketuai golongan konservatif.

Mengumumkan rancangan pembubaran pertubuhan itu di Indonesia, Ketua Menteri Keselamatan, Wiranto, berkata:

"Kerajaan perlu mengambil tindakan undang-undang secara tegas untuk membubarkan Hizb ut-Tahrir Indonesia (HTI).

"Aktiviti HTI boleh mengancam keselamatan awam dan peraturan dan membahayakan penyatuan Indonesia."

Beliau berkata, pihak berkuasa akan mendapatkan perintah mahkamah untuk membubarkan pergerakan itu tetapi menegaskan tindakan itu tidak bermakna kerajaan menentang semua pertubuhan Islam.

Hizb ut-Tahrir, yang mempunyai cawangan di seluruh dunia, sudah pun diharamkan di beberapa negara. - AFP

Berita Harian X